Home Pertahanan dan Keselamatan Kapal berlabuh tanpa kebenaran, 22 kru warga Filipina dan Korea Selatan di tahan

Kapal berlabuh tanpa kebenaran, 22 kru warga Filipina dan Korea Selatan di tahan

by Air Times News Network

KOTA TINGGI, 16 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah kapal pengangkut kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan negara semalam.

Menurut APMM, Zon Maritim Tanjung Sedili telah menahan kapal tersebut di Perairan Tompok Utara, Pantai Timur Johor pada kedudukan 6.5 batu nautika Timur Laut Tanjung Penawar.

“Kapal pengangkutan berkenaan yang berdaftar di Jeju, Korea Selatan ditahan oleh kapal peronda Maritim Malaysia pada jam 4.11 petang selepas pemeriksaan mendapati gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dalam perairan Malaysia.

“Kapal sepanjang 333 meter itu dikendalikan 22 kru, termasuk nakhoda (Master) berumur lingkungan 42 hingga 58 tahun warganegara Filpina dan Korea Selatan,” kata kenyataan tersebut.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu berlabuh tunggu tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut.

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.

APMM juga mengingatkan bahawa Perairan Permatang Timur (Eastern Bank), Beting Ramunia (Ramunia Shoal) dan Tompok Utara (North Patch) masih berada dalam Perairan Wilayah Malaysia dan bukannya Perairan Antarabangsa walaupun jaraknya melebihi 12 batu nautika daripada daratan terdekat.

“Justeru, sebarang aktiviti perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa dan mengikut undang – undang,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply