Home Pertahanan dan Keselamatan Crypto AG: Malaysia tidak guna untuk maklumat rahsia – Muhyiddin

Crypto AG: Malaysia tidak guna untuk maklumat rahsia – Muhyiddin

by Bernama

IPOH, 15 Feb  – Malaysia tidak menggunakan alat pengekodan Crypto AG untuk menyalurkan maklumat rahsia, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kawalan kerahsiaan terhadap penyaluran maklumat sentiasa dilaksanakan pada setiap masa bagi memastikan ia tidak terlepas kepada mana-mana pihak di luar daripada agensi berkaitan.

“Maklumat itu tak boleh keluar, kita kawal rahsia. Bukan sahaja Malaysia tapi banyak negara terlibat (menggunakan Crypto AG) .

“Ada langkah tertentu kita ambil untuk tentukan tiada data penting (terlepas kepada) siapa luar batas agensi. Kawalan kerahsian akan terus kita laksanakan dan saya diberitahu ini (penggunaan Crypto AG) bukan baharu, dah lama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun RELA ke-48 Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Washington Post pada 11 Feb yang menyatakan bahawa  Malaysia antara 120 negara menggunakan  alat pengekodan dari sebuah syarikat Switzerland bagi menghantar kod komunikasi sulit antara pegawai kerajaan sejak sekian lama.

Menurut laporan tersebut, syarikat Switzerland itu dimiliki secara rahsia oleh Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) dan Perkhidmatan Perisikan Jerman (BND).

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata penggunaan Crypto AG oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya untuk komunikasi operasi jangka pendek dan bukannya untuk perkara ‘hiper sensitive’.

“Untuk operasi terhad kita gunakan teknologi itu, kita bukan guna untuk operasi jangka panjang atau untuk kita salurkan maklumat berperingkat,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply