Home PolitikPakatan Harapan Tun M tegaskan tidak terlibat gerakan berhubung kedudukannya sebagai PM

Tun M tegaskan tidak terlibat gerakan berhubung kedudukannya sebagai PM

by Bernama

LANGKAWI, 14 Feb – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan dirinya tidak terlibat dengan sebarang gerakan atau kegiatan pihak tertentu yang mahukan beliau kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal.

Dr Mahathir sebaliknya mengulangi kenyataan untuk berpegang kepada janji bagi melepaskan jawatan kepada penggantinya selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan dianjur Malaysia November ini.

Kenyataan itu bagi menjawab spekulasi dan dakwaan kononnya 138 Ahli Parlimen menandatangani Akuan Bersumpah (SD) yang menyokongnya memegang jawatan perdana menteri sehingga habis penggal seperti yang dilaporkan sebuah portal berita berbahasa Inggeris hari ini.

“Hari ini Pakatan Harapan (PH) mempunyai majoriti (dalam Parlimen), macam mana boleh dapat angka 138, yang itu orang lain punya kerja, saya tidak tahu (bagaimana) mereka boleh buat macam itu. Maknanya PH mesti sokong lah (baru boleh) dapat angka macam itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Fasa 2: Villa Sirehan dan melawat ke tapak projek 1: Rebungan Resort Langkawi di Ulu Melaka, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau sedar mengenai SD itu, perdana menteri menjawab: “Saya dengar macam-macam cerita, (ada yang cakap) jadi PM sampai 20 tahun lagi, saya umur 94 tahun, lagi beberapa bulan 95 tahun, mana boleh tahan.

“Saya janji akan letak jawatan selepas APEC, itu saya pegang kepada janji saya. Saya tidak terlibat dengan yang lain (SD), cuma janji letak jawatan (dan) akan letak jawatan,” katanya.

Ditanya pandangannya sama ada isu peralihan kuasa perdana menteri perlu dihentikan, Dr Mahathir berkata perkara itu terus diperkatakan berikutan ia kerap menjadi tumpuan pihak media.

“Ini press (media) la, press seronok sangat (membuat laporan mengenai peralihan kuasa), kalau ada kontroversi baru ada cerita. Jadi bagi press, saya dengan (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bertumbuk apa semua, lagi seronok cerita,” katanya.

Mengulas mengenai sikap segelintir pemimpin PH yang juga kerap mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu, perdana menteri berkata ia berlaku disebabkan pihak media yang gemar bertanyakan soalan itu kepada mereka.

“Pemimpin Pakatan Harapan buat kenyataan (berkaitan peralihan kuasa perdana menteri) sebab ditanya (oleh media), kalau tak tanya tidak ada kenyataan,” katanya.

Semalam, Anwar dalam satu kenyataan media menyatakan beliau mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir dan membincangkan mengenai peralihan kuasa.

Dalam kenyataan itu, Anwar mendakwa ada usaha daripada PAS, sekumpulan daripada UMNO dan sebilangan kecil daripada PKR sendiri yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga akhir penggal.

“Perdana menteri tidak terlibat dalam usaha tersebut malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan,” katanya. – Bernama

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply