Home Pertahanan dan Keselamatan TUDM hantar pesawat laksana operasi pembenihan awan, tingkatkan bekalan air di Kedah dan Perlis

TUDM hantar pesawat laksana operasi pembenihan awan, tingkatkan bekalan air di Kedah dan Perlis

by M.Daim

SUBANG, 14 Feb – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menghantar sebuah pesawat pengangkut C-130H bagi melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) di ruang udara Kedah dan Perlis pada hari ini.

Operasi ini melibatkan kerjasama antara TUDM dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), OPA dilaksanakan bagi meningkatkan bekalan air di kawasan empangan dan tadahan di Perlis serta Kedah.

Semalam, kerajaan Kedah telah bercadang untuk memohon bantuan kerajaan bagi menggunakan helikopter TUDM untuk melaksanakan pembenihan awan bagi menangani krisis bekalan air di negeri itu.

OPA merupakan satu proses pembentukan awan hujan melalui pembenihan basah dan pembenihan kering.

Operasi yang dilaksanakan pada hari ini melibatkan kaedah pembenihan basah dengan melibatkan semburan air larutan garam biasa keluar daripada pesawat.

Penglibatan TUDM dalam operasi sebegini merupakan salah satu daripada jujukan Operasi Ketenteraan Semasa Aman (Military Operation Other Than War) oleh pasukan lembayung pertahanan udara tanah air.

Semenjak awal Februari, media tempatan telah melaporkan krisis bekalan air di kedua-dua negeri.

Kedah dan Langkawi dilaporkan mempunyai bekalan air yang hanya cukup sehingga bulan Mac ini berikutan musim kemarau yang melanda negeri itu.

Langkawi sebelum ini telah mengadakan solat istiqa meminta hujan berikutan keadaan cuaca panas sehingga menyebabkan paras air menyusut di Empangan Bukit Malut. Kali terakhir hujan turun yang memberikan kesan penambahan tadahan air adalah pada akhir November lalu.

Menurut laporan media tempatan, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago menyatakan 3 loji di Kedah beroperasi dalam keadaan berjaga-jaga sementara operasi 3 loji lagi dikurangkan.

Sementara itu, Perlis dilaporkan telah menghentikan sementara bekalan air ke kawasan sawah pada akhir Januari lalu. Langkah itu diambil berikutan kekurangan bekalan air akibat musim kemarau yang melanda.

Related Articles

Leave a Reply