Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan dua lelaki cuba seludup keluar barang kawalan ke Indonesia

APMM tahan dua lelaki cuba seludup keluar barang kawalan ke Indonesia

by Bernama

TAWAU, 14 Feb – Cubaan dua lelaki menyeludup keluar barang kawalan menggunakan bot kargo berdaftar Indonesia, gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin, di kawasan perairan Sungai Melayu, Pulau Sebatik di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata kedua-dua suspek warga Indonesia berumur lingkungan 30 dan 40-an itu ditahan menerusi Operasi Pluto Timur dan Ops Sejahtera oleh pihaknya pada 8.30 pagi.

Katanya, sewaktu pemeriksaan suspek gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri serta tidak memiliki surat kebenaran membawa barang kawalan berupa 80 tong gas memasak warna kuning dan hijau.

Selain itu suspek turut membawa 7,200 paket gula pasir, serta makanan sejuk beku iaitu ayam Frankfurter (3,200 paket) serta bebola ayam (865 paket) ke Indonesia, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Siva Kumar, suspek dan semua barang rampasan termasuk bot kargo bernilai RM175,000 ditunda ke Jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Imigresen 1959/1963.

Beliau berkata orang ramai boleh membuat sebarang aduan kecemasan atau menyalurkan maklumat berkaitan jenayah ke Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply