Home Politik Keputusan bercuti dari semua jawatan untuk jamin keputusan telus – Zuraida

Keputusan bercuti dari semua jawatan untuk jamin keputusan telus – Zuraida

by Bernama

PUTRAJAYA, 7 Feb  – Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata beliau mengambil keputusan bercuti daripada semua jawatan dalam parti bagi menjamin keputusan yang akan dibuat biro politik PKR terhadap kes disiplin yang dihadapinya lebih telus.

Ini kerana beliau adalah ahli dalam biro politik itu dan perlu profesional dengan memilih untuk bercuti supaya tidak dilihat mempengaruhi keputusan yang akan dibuat biro itu berhubung kes disiplin yang dihadapinya, katanya.

Menurut Zuraida, biro politik adalah badan terakhir yang akan membuat ‘political decision’ dan beliau tidak mahu berada di situ semasa keputusan dibuat.

“Kes disiplin yang sedang saya hadapi akan dirujuk kepada biro politik oleh Lembaga Disiplin selepas siasatan selesai dijalankan.

“Oleh kerana orang berkenaan (tertuduh) adalah saya, maka lebih profesional untuk saya berehat seketika,” kata Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika ditemui pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kementeriannya dan Jasamu Dikenang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida berkata beliau sedia berdepan dua tuduhan memfitnah yang dibuat terhadapnya di mahkamah.

Katanya, beliau telah meneliti surat tindakan undang-undang atas dakwaan memfitnah daripada Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador, dan sedia berdepan tuduhan itu di mahkamah. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply