Home Pertahanan dan Keselamatan Maritim Malaysia tahan dua bot,10 nelayan asing ceroboh perairan negara

Maritim Malaysia tahan dua bot,10 nelayan asing ceroboh perairan negara

by Nurulhuda

LUMUT, 6 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 2 buah bot bersama 10 nelayan asing kerana melanggar syarat sah lesen perikanan iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di zon larangan di perairan negara.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata bot berkenaan bersama awak-awak dari Indonesia dan Myanmar itu ditahan dalam 2 kejadian yang berasingan.

“Tangkapan pertama melibatkan sebuah bot nelayan Indonesia ditahan di kedudukan 7 batu nautika barat laut Pulau Jarak, petang semalam,

“Bot bersama awak-awak berusia di antara 22 hingga 40 tahun itu ditahan kerana telah mencerobohi perairan negara dan disyaki melakukan kegiatan menangkap ikan, “katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala kejadian kedua pula, Shahrizan berkata, Maritim Malaysia telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C selepas disyaki menangkap ikan di zon larangan menangkap ikan iaitu kira-kira 8 batu nautika dari Sungai Belukang Hutan Melintang, awal pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan mendapati 5 warga Myanmar berusia lingkungan 33 hingga 65 tahun berada di atas bot tersebut,” jelas beliau.

Shahrizan berkata, bot serta kesemua nelayan tersebut diiring ke Pusat Tahanan Vesel untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.

Related Articles

Leave a Reply