Lahat Datu, 2 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu berjaya merampas sejumlah 86 karton rokok pelbagai jenama dan 100 paket rokok tembakau yang dianggarkan bernilai RM22,700.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, rokok yang dipercayai diseludup dari negara jiran itu berjaya dirampas pada lebih kurang jam 7.30 pagi semalam di perairan Telukan Lahad Datu, 0.3 batu nautika tenggara dari jeti awam Lahad Datu.
Menurutnya, cubaan seludup tersebut berjaya digagalkan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan tanggungjawab yang menemui 2 buah bot enjin sangkut dalam keadaan mencurigakan.
“Apabila menyedari kehadiran bot APMM, kedua-dua bot suspek meluncur laju ke arah kawasan daratan. Tekong serta awak-awak bot bagi setiap bot berjaya melepaskan diri dari ditangkap oleh pihak Maritim Malaysia,
“Hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan, bot peronda Maritim Malaysia telah menemukan beberapa bungkusan plastik yang berisi muatan rokok pelbagai jenama di kedua-dua bot,” jelasnya.
Beliau berkata, bot tersebut disyaki menggunakan nombor pendaftaran yang palsu kerana kedua-dua bot mempunyai nombor yang sama.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM 22,700,
“Kedua-dua bot dan barang rampasan dibawa ke jeti Perikanan Lahad Datu dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut. Kes tersebut akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Jabatan Pelabuhan Dermaga Sabah (JPDS),” katanya dalam satu kenyataan semalam.