Home Pertahanan dan Keselamatan Maktab Turus Angkatan Tentera Jalan Padang Tembak ditutup secara rasmi hari ini

Maktab Turus Angkatan Tentera Jalan Padang Tembak ditutup secara rasmi hari ini

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Premis Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Haigate, Jalan Padang Tembak ditutup secara rasmi pada hari ini.

Premis ini diserahkan kepada Bahagian Komunikasi dan Elektronik (KOMLEK), 91 Rejimen Semboyan Diraja (RSD) dan Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM telah menyempurnakan Majlis Penutupan serta Penyerahan Premis MTAT hari ini.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bahagian Hal Ehwal Awam – J7 dalam satu kenyataan berkata, majlis ini merupakan simbolik kepada penyerahan dan penutupan premis itu yang telah berpindah secara berperingkat ke Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Putrajaya sehingga September 2019.

“Penuntut Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) siri 49/2019 telah memulakan sesi pengajiannya di PUSPAHANAS mulai 1 September 2019 hingga 31 Ogos 2020,” katanya.

MTAT merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi ATM yang menyediakan pengajian profesional di peringkat Diploma Lepasan Ijazah kepada pegawai-pegawai berpangkat Mejar atau setaraf daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM. Pengajian ini adalah bagi bertujuan untuk melengkapkan dan menyediakan mereka untuk menjawat jawatan di peringkat yang tertinggi.

“Maktab ini turut menawarkan tempat kepada pegawai dari agensi kerajaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dan juga pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Pada 1971, MTAT telah dirasmikan oleh Tun Abdul Razak Hussein, dan pembukaan kursus pertama pada 8 Januari 1972.

“Sejak tahun 1974, MTAT mula menerima kehadiran pegawai-pegawai dari negara asing melibatkan penuntut dari Australia, Indonesia, New Zealand, Thailand dan United Kingdom,

“Seterusnya pada tahun 1995, satu perjanjian persefahaman (MoU) di antara Kementerian Pertahanan dengan Universiti Malaya (UM) telah dimeterai bagi membolehkan peserta kursus dianugerahkan dengan Diploma Lepasan Ijazah bagi dalam bidang Pengajian Strategik dan Pertahanan serta anugerah Lepasan Maktab Turus (imt dan psc),

“Pada tahun 2012, maktab ini telah berkerjasama dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi Program Diploma Eksekutif dalam Pengajian Strategik dan Pertahanan yang kini program itu telah dinaik taraf kepada Diploma Lepasan Ijazah sepenuhnya,” ujarnya.

Semenjak tahun 2014, MTAT telah mengiktiraf alumni seramai 14 orang pegawai kanan dari dalam dan luar negara yang telah berjaya dalam perkhidmatan masing-masing melalui Majlis Pemasyhuran Hall of Fame.

Manakala sejak penubuhannya sehingga kini, MTAT telah diterajui 20 orang Komandan dan jumlah graduan yang telah dihasilkan seramai 5, 390 orang pegawai.

“Pecahan seramai 2,872 dari Tentera Darat, 608 Tentera Laut Diraja Malaysia, 672 orang dari Tentera Laut Diraja Malaysia, 62 orang pegawai PDRM, 5 pegawai JPA, 2 dari APMM dan 1, 169 orang pegawai tentera negara asing,

“Maktab ini telah dimulakan dengan 32 orang anak tempatan pada 8 Januari 1972 dan pada 4 Disember 2019 MTAT telah dinoktahkan oleh 165 orang pegawai ATM,“ kata kenyataan itu.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany; pegawai-pegawai kanan ATM; mantan Komandan dan wakil Alumni 48/2019 serta 49/2020.

Related Articles

Leave a Reply