Home Semasa Tiga kes baharu positif koronavirus, jumlah meningkat kepada tujuh – Dr Noor Hisham

Tiga kes baharu positif koronavirus, jumlah meningkat kepada tujuh – Dr Noor Hisham

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan tiga kes baharu positif virus koronavirus (2019-nCoV), menjadikan jumlah kes yang disahkan meningkat kepada tujuh di Malaysia setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kes positif 2019-nCoV ini adalah terdiri daripada warganegara China.

“Dua kes baharu jangkitan ini adalah seorang kanak-kanak berumur empat tahun yang kini dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan seorang lelaki berusia 52 tahun yang dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,

“Seorang lagi kes itu adalah wanita, sebelum ini beliau berstatus negatif tetapi telah mengambil keputusan untuk tinggal di Malaysia bagi menjaga kedua-dua anaknya yang sedang menerima rawatan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh setelah mereka dikesan positif,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, KKM sentiasa memastikan kesiapsiagaan dan respon terhadap wabak penyakit berjangkit dapat dilaksanakan dengan cepat dan baik.

“Kapasiti dan kapabiliti sedia ada ditingkatkan bagi menangani kejadian jangkitan 2019-nCoV seperti meningkatkan fungsi dan keberkesanan wad isolasi di hospital-hospital rujukan; perolehan aset bagi meningkatkan kapasiti saringan di pintu-pintu masuk antarabangsa Malaysia,

“Memastikan stockpile alat perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan anggota kesihatan dan perubatan kategori frontliner sentiasa mencukupi; memastikan bekalan ubat-ubatan bagi rawatan gejala dan komplikasi kes jangkitan 2019-nCoV sentiasa pada paras optima; meningkatkan bilangan makmal kesihatan awam dan makmal hospital yang boleh menjalankan ujian pengesanan virus 2019-nCoV dengan memberikan latihan kepada kakitangan terlibat serta membekalkan reagen kepada makmal berkaitan,

“Memantau status kesihatan kakitangan kesihatan dan perubatan yang terlibat dalam pengendalian kes jangkitan 2019-nCoV dan kes Patient-Under-Investigation (PUI); menyediakan dan mengemaskini bahan-bahan pendidikan kesihatan dan nasihat perjalanan ke China, secara berkala dan mengemaskini garispanduan pengurusan PUI serta kes jangkitan 2019-nCoV untuk rujukan semua pengamal perubatan dan anggota kesihatan di lapangan,” katanya.

Beliau juga berkara bagi melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan penularan virus 2019-nCoV dengan berkesan, ia memerlukan tindakan bersepadu pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

 

Related Articles

Leave a Reply