Home Semasa Pos Malaysia naikkan kadar pos komersial berkuatkuasa 1 Feb, rakyat tidak terjejas

Pos Malaysia naikkan kadar pos komersial berkuatkuasa 1 Feb, rakyat tidak terjejas

by Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan melaksanakan semakan semula kadar pos komersial berkuatkuasa 1 Feb, 2020, dan langkah itu tidak akan menjejaskan rakyat.

Menurut kenyataannya hari ini, langkah itu seiring dengan peningkatan kos operasi dan peningkatan struktur kadar antarabangsa oleh Kesatuan Pos Sedunia (UPU), yang mengubah landskap industri pos global dan mendorong Pos Malaysia untuk mentransformasikan sistem pos bagi kecekapan yang lebih tinggi.

Kali terakhir semakan semula kadar pos dilakukan pada 2010.

Melangkah ke hadapan, Pos Malaysia menyatakan ia akan terus menawarkan kadar pos yang berpatutan untuk pengguna mel individu dan pelanggan bukan komersial dengan kadar setem semasa yang bernilai 60 sen.

Kadar pos yang baharu ini hanya melibatkan mel berdaftar, mel komersial dan bungkusan kecil bawah dua kilogram. Menurut Pos Malaysia, jumlah pengguna komersialnya mewakili 95 peratus daripada semua pengguna mel dalam negara dengan hanya lima peratus terdiri daripada pengguna mel individu.

Menurut laman web Pos Malaysia, kadar setem komersial akan dinaikkan sebanyak 70 sen menjadi RM1.30 dan mel berdaftar komersial naik 90 sen menjadi RM3.10.

Menurut Pos Malaysia, para pelanggan komersialnya yang terdiri daripada sektor perbankan, telekomunikasi dan peruncitan juga telah menyatakan sokongan terhadap kadar pos baharu ini kerana ia berpatutan dan memberi impak yang minimum terhadap operasi perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, kadar baharu pos ini akan membolehkan syarikat mengendalikan kos dengan lebih berkesan untuk menyediakan perkhidmatan kepada lebih sembilan juta alamat di seluruh negara di bawah Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO).

“Pada masa yang sama, kami berhasrat untuk menyelaraskan pertumbuhan syarikat seiring dengan perkembangan ekonomi digital melalui penerapan inovasi untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan kepuasan pelanggan

“Adalah perlu untuk mengadakan pelan pertumbuhan yang agresif agar kekal relevan dalam industri yang menuju ke arah era Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Syed Md Najib berkata, Pos Malaysia akan terus melabur dalam infrastruktur pendigitalan dan e-Dagang sebagai sebahagian daripada agenda transformasi bagi meningkatkan prestasi Pos Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan pos dengan jangkauan terluas di negara ini.

Digitalisasi adalah penting untuk memacu perniagaan syarikat ke hadapan dan ini jelas dapat dilihat melalui peningkatan penggunaan telefon pintar dalam negara yang melebihi 100 peratus, satu pencapaian yang membanggakan oleh kerajaan dalam meningkatkan ekonomi digital Malaysia, katanya.

Beliau berkata, sektor e-Dagang di Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan sebanyak 30 peratus pada 2020.

“Justeru, Pos Malaysia perlu dilengkapkan dengan perkembangan teknologi terkini untuk menerajui pasaran dan menjadi pusat e-Dagang untuk negara,” katanya.

Perkhidmatan pos antarabangsa melihat peningkatan bagi kos penghantaran ke negara destinasi sehingga 30 peratus untuk bungkusan kecil bawah dua kilogram, bermula Januari 2020, susulan keputusan oleh Kongres Khas UPU di Geneva pada September 2019, telah memberi kesan kepada operator perkhidmatan pos seluruh dunia. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply