Home Semasa APMM tahan bot fiber bawa pemancing tiada lesen

APMM tahan bot fiber bawa pemancing tiada lesen

by Bernama

PORT DICKSON, 28 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah bot fiber yang tidak mempunyai lesen bot di kedudukan kira-kira 4.4 batu nautika barat daya Pu. Arang-Arang, di sini, semalam.

Pengarahnya, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata penahanan bot fiber tanpa nombor pendaftaran kira-kira 2 petang itu dilakukan oleh anggota yang sedang membuat rondaan di sekitar perairan Negeri Sembilan dalam suatu rutin operasi harian.

“Terdapat tujuh orang termasuk lima pemancing berada di atas bot berkenaan. Dua kru bot ditahan dan bot diiring masuk ke jeti Maritim Kuala Linggi untuk disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Haris Fadzillah dalam pada itu turut menasihatkan agar pemilik bot fiber dapat membuat pendaftaran ke atas bot-bot milik mereka dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

“Ia bagi memastikan pihak berkuasa dapat membuat pemeriksaan dari segi aspek keselamatan bagi mengelakkan sebarang kecelakaan berlaku,” katanya.

Beliau menegaskan pihaknya sedang meningkatkan operasi penguatkuasaan terhadap bot-bot penumpang dan bot pemancing bagi memastikan keselamatan orang awam diutamakan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan terutamanya pada musim perayaan dan cuti umum.

“Kami meminta orang ramai menyalurkan maklumat jenayah dan kecemasan di laut di talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam,” katanya – Bernama

Related Articles

Leave a Reply