Home Semasa Agong titah masjid di seluruh Malaysia adakan solat hajat, doa selamat

Agong titah masjid di seluruh Malaysia adakan solat hajat, doa selamat

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kesemua masjid di seluruh negara untuk mengadakan solat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah S.W.T bagi memelihara negara dan rakyat daripada sebarang penyakit-penyakit tidak diingini berikutan penularan wabak novel koronavirus di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Seri Paduka Baginda sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai wabak tersebut dan amat prihatin serta bimbang dengan keselamatan diri serta kesihatan rakyat yang berada di Malaysia mahupun di luar negara.

“Susulan peningkatan jumlah kes positif jangkitan 2019-nCov dan kematian di seluruh kawasan yang terjejas di China, Seri Paduka Baginda menyeru kepada rakyat untuk memperbanyakkan doa agar Malaysia dan dunia dilindungi daripada wabak berkenaan serta memudahkan pihak-pihak berkuasa tempatan di kawasan-kawasan yang terjejas menangani gejala wabak ini semoga situasi kehidupan insan dapat dipulihkan seperti sedia kala,” kata Ahmad Fadil.

Menurutnya lagi, Al Sultan Abdullah turut mengulangi nasihat sebelum ini kepada rakyat untuk sentiasa mendapatkan perkembangan dan maklumat terkini wabak tersebut melalui saluran rasmi Kementerian Kesihatan (KKM).

“Dan juga dari agensi-agensi kerajaan serta media arus perdana dan bukannya dari sumber tidak sahih yang boleh mencetuskan rasa cemas atau mengganggu ketenteraman dalam kalangan rakyat,

“Seri Paduka Baginda turut sekali lagi menyeru agar rakyat untuk sentiasa mengikuti nasihat dan saranan langkah pencegahan serta amalan kesihatan seperti digariskan KKM,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply