Home Semasa Gelaran ayahanda adalah lambang kesantunan budaya Melayu, bukan kongsi gelap

Gelaran ayahanda adalah lambang kesantunan budaya Melayu, bukan kongsi gelap

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Majlis Perundingan Ayahanda Malaysia (MPAM) hari ini menegaskan bahawa tiada gelaran ‘Ayahanda Kongsi Gelap’ di negara ini.

“Sesebuah persatuan atau pertubuhan yang hendak didaftarkan adalah tertakluk kepada undang-undang tubuh serta Perlembagaan Pejabat Pendaftaran Negara (ROS) dan perlu melalui tapisan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),

“Oleh itu, tiada sebab nak sabitkan bahawa golongan Ayahanda dikaitkan dengan kongsi gelap,” tegas Ketua Sekretariat Majlis Perundingan Ayahanda Malaysia (MPAM), Yahya Long Ali atau dikenali Ayahanda Pak Ya.

Beliau menambah, barisan Ayahanda di negara ini adalah terdiri daripada pejuang-pejuang Melayu Islam.

Pak Ya bersama 25 wakil persatuan yang berbai’ah di bawah MPAM hadir ke sidang media yang diadakan di Restoran NZ Curry House, hari ini.

Beliau menambah, MPAM mahu persepsi negatif terhadap gelaran Ayahanda diperbetulkan.

“Kami mahu semua pihak mengubah persepsi bahawa gelaran ini adalah ketua kumpulan samseng dan terlibat dalam gangsterisme,

“Ayahanda pada era sekarang adalah terdiri daripada golongan profesional seperti menteri, wakil rakyat sama ada di kalangan pihak pemerintah atau pembangkang, ilmuwan agama, doktor dan peguam,” tegas Pak Ya.

Pada masa yang sama, beliau menyeru semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah MPAM untuk terus berjuang demi agama, bangsa dan negara.

“Bergerak secara terang, jangan takut kepada pihak berkuasa selagi kita tidak melanggar undang-undang,

“Jadikan pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai rakan kita dan membantu mereka untuk memendung gejala negatif di negara ini,

“Ikut saluran yang betul, jangan berpaling dari Al-Qur’an, dan jangan langgar undang-undang negara. Buktikan ayahanda di negara ini adalah pejuang dan pemimpin yang bermaruah,” ujarnya.

Bukti kesantunan budaya Melayu

Sementara itu, Datuk Hj Mahmud Abdullah dari Pertubuhan Legasi Bendahara Malaysia (PLBM) menegaskan gelaran Ayahanda adalah bukti kesantunan budaya Melayu.

“Budaya Melayu adalah cukup hormat dan santun terutamanya dalam menghormati rakan-rakan seperjuangan,

“Sebagai contoh, gelaran ayahanda, bonda dan kekanda sudah sebati dengan budaya kita,” jelasnya.

Beliau menambah, gelaran yang digunakan merupakan gelaran tidak rasmi tetapi digunakan atas dasar hormat. Ini kerana gelaran jawatan seperti presiden atau ketua digunakan dalam urusan pendaftaran dan rasmi dengan ROS.

“Dalam konteks Akta Pertubuhan, kita masih terikat dengan struktur dan peraturan yang dikehendaki,” jelas Mahmud .

Datuk Hj Mahmud Abdullah dari Pertubuhan Legasi Bendahara Malaysia (PLBM) menegaskan gelaran Ayahanda adalah bukti kesantunan budaya Melayu – Foto: Airtimes/ M. Azuwan

‘Tumpu kepada aktiviti sosio-ekonomi’

Bagi Jasmaharmi Abdul Ghani,wakil Pertubuhan Pembangunan Ummah Sejagat berkata, pertubuhan yang wujud adalah mementingkan kedamaian dan aktiviti kemasyarakatan.

“Kami mengajak semua untuk berkasih sayang dan cintakan kedamaian seperti dituntut oleh agama Islam,

“Aktiviti yang diberikan perhatian oleh pertubuhan-pertubuhan yang berbai’ah adalah memberi fokus kepada aktiviti-aktiviti sosio ekonomi dan kemasyarakatan serta kedamaian,” jelas Jasmaharmi.

Beliau turut menegaskan bahawa gabungan MPAM membantah sekeras-kerasnya persepsi negatif yang timbul terhadap gelaran ayahanda.

‘Tidak bersangkut paut dengan ekstremisme’

Menurut Mahmud, NGO-NGO yang bernaung tidak terlibat dan berkaitan dengan sebarang aktiviti ekstremisme.

“Ayahanda-ayahanda yang sedia ada telah banyak berkerjasama dengan PDRM untuk menangani isu-isu negatif,

“Kita berpegang kepada prinsip bahawa kita mahukan keamanan,harmoni dan kestabilan,” ujar Mahmud.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan sidang media yang diadakan adalah bagi menerangkan peranan sebenar Ayahanda yang berperanan sebagai ketua dan pemimpin kepada NGO-NGO yang berdaftar.

‘Hentikan manipulasi’

Sementara itu, MPAM tidak menolak kewujudan persepsi negatif terhadap gelaran ayahanda adalah berpunca daripada filem dan tindakan individu-individu yang tidak bertanggung jawab.

“Hakikatnya, peranan ayahanda mahupun abang long sebagai orang penting dalam kumpulan kongsi gelap seperti dalam filem adalah tidak wujud,

“Perlu diingatkan bahawa Ayahanda ada diantaranya terdiri daripada golongan ilmuan serta pemimpin. Kami nasihatkan pihak penerbitan filem untuk berhati-hati dalam menggunakan nama gelaran ini dan hentikan manipulasi terhadap gelaran-gelaran tersebut untuk dikaitkan dengan gejala negatif,” ujar Pak Ya.

 

Related Articles

Leave a Reply