Home Semasa Kadar tol lebuhraya PLUS dikurangkan 18 peratus mulai 1 Februari

Kadar tol lebuhraya PLUS dikurangkan 18 peratus mulai 1 Februari

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Pelaksanaan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus bagi pengguna kenderaan persendirian di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Bhd (PLUS) akan dilaksanakan seawal 1 Februari ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 15 Januari 2020.

“Lebuhraya yang terlibat adalah Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP),

“Sebagai contoh, kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan akan berkurang daripada 13.6 sen/km kepada 11.15 sen/km. Apabila ia dilaksanakan, kadar tol baharu ini lebih rendah daripada kadar tol pada tahun 1999 (11.24 sen/km),” tambahnya.

PMO turut menjelaskan dengan pelaksanaan keputusan ini, tempoh konsesi untuk semua lebuhraya PLUS akan dilanjutkan selama 20 tahun dari tahun 2038 hingga ke 2058 bagi memastikan PLUS mampu menjalankan kegiatan penyelenggaraan dan operasi lebuhraya tanpa bergantung kepada Kerajaan.

“Tiada sebarang bayaran akan dibuat oleh Kerajaan kepada PLUS sebagai timbal balas berikutan pengurangan kadar tol tersebut.

“Kerajaan tidak lagi akan menanggung beban membayar pampasan kepada PLUS, di mana kerajaan bakal mendapat penjimatan yang dianggarkan sebanyak RM42 billion sepanjang tempoh konsesi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, PLUS juga akan kekal sebagai pengendali dan akan terus memegang aset dan liabiliti syarikat serta mengurus pembiayaan kos operasi dan penyelenggaraan.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan tidak akan menjual Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Malaysia Berhad tetapi memutuskan untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus.

Tun Mahathir berkata, keputusan tersebut adalah yang terbaik selepas mempertimbangkan pandangan dari banyak pihak termasuk kabinet.

Related Articles

Leave a Reply