Home Pertahanan dan Keselamatan Helikopter sewaan ganti peranan Nuri sementara menanti perolehan pesawat baharu

Helikopter sewaan ganti peranan Nuri sementara menanti perolehan pesawat baharu

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM hari ini menegaskan penggunaan helikopter sewaan bagi menggantikan Nuri adalah langkah sementara bagi menunggu pesawat baharu.

“Pada ketika ini, ketiadaan Nuri telah mewujudkan satu jurang keupayaan dan kita memerlukan pesawat yang boleh mengisi peranan yang ditinggalkan ,” kata Affendi yang turut menjelaskan perolehan pesawat baharu adalah memakan masa iaitu sekurang-kurangnya 2 ke 3 tahun.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengumumkan cadangan penggunaan helikopter sewaan bagi menggantikan peranan Nuri.

Affendi menegaskan, ketiadaan Nuri telah mewujudkan jurang keupayaan ATM dan pihaknya mengusulkan cadangan helikopter sewaan kepada kerajaan sebagai langkah sementara (stop gap measure) untuk mengisi kekurangan tersebut.

Beliau menegaskan kesan penamatan pengoperasian Nuri bukan sahaja terhad kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tetapi turut memberi kesan kepada Tentera Darat Malaysia. Affendi turut menjelaskan sewaan helikopter baharu lebih berbaloi dari segi ekonomi berbanding meneruskan pengoperasian Nuri.

“Prestasi Nuri dari segi pulangan pelaburan (return on investment, ROI) dan kebolehpercayaan (reliability) adalah tidak memuaskan,

“Untuk sebuah pesawat yang berusia lebih 50 tahun, terdapat pelbagai isu termasuk isu keselamatan dan beberapa isu lain,” jelas Affendi

Menurut beliau, terdapat dua aspek yang perlu diambil kira dalam isu helikopter sewaan iaitu peranan dan kos.

“Keupayaan Nuri semasa pengoperasiannya lebih kepada peranan pergerakan udara (air mobility) dan kita akan gunakan peruntukan selenggaraan  pesawat ini untuk menyewa pesawat baharu,” ujar beliau.

Terdahulu, Affendi menyampaikan perintah ulung beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-21 sejak memegang jawatan tersebut pada 2 Januari lalu.

Dalam amanat tersebut, beliau telah menggariskan 4 teras bagi mendukung visi Kertas Putih Pertahanan iaitu “Malaysia sebagai sebuah negara selamat, berdaulat dan makmur”.

Turut hadir ke majlis ini ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany TLDM dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Ackbal Abdul Samad TUDM.

 

Related Articles

Leave a Reply