Home SemasaGlobal Tentera Iran akui tertembak pesawat penumpang Ukraine

Tentera Iran akui tertembak pesawat penumpang Ukraine

by Bernama

TEHRAN, 12 Jan – Angkatan tentera Iran pada Sabtu mengaku tidak sengaja menembak pesawat penumpang Ukraine jenis Boeing 737, lapor agensi berita Sputnik.

“Disebabkan kesilapan manusia, pesawat itu secara tidak sengaja ditembak jatuh,” kata staf am tentera Iran dalam satu kenyataan memetik radio dan TV IRIB.

“Kami menyesal, memohon maaf dan mengucapkan takziah kepada rakyat kita, kepada keluarga semua mangsa dan negara-negara lain yang turut terlibat,” kata Menteri Luar Iran Javad Zarif lapor agensi berita Anadolu.

“Kesilapan manusia berlaku ketika krisis yang disebabkan oleh kenekatan Amerika Syarikat (AS) membawa kepada bencana,” katanya di Twitter.

Agensi berita Fars berkata pada Jumaat, punca nahas itu akan diumum selepas anggota penyiasat termasuk pakar dari Iran dan luar negara bermesyuarat.

AS, Britain dan Kanada pada Khamis mengatakan mereka mempunyai bukti menunjukkan peluru berpandu Iran menembak pesawat penumpang Ukraine.

Pesawat malang itu terhempas pada Rabu sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini Tehran, menyebabkan 176 penumpang termasuk sembilan anak kapal terkorban.

Nahas berlaku beberapa jam selepas Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melancarkan berpuluh peluru berpandu yang menyasarkan tentera AS di Iraq sebagai serangan balas terhadap kematian komander tertinggi tentera elit Iran Qasem Soleimani. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply