Home Semasa Malaysia pantau dan sedia bawa keluar rakyat dari Iran, Iraq jika perlu

Malaysia pantau dan sedia bawa keluar rakyat dari Iran, Iraq jika perlu

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Menteri Luar Negeri Dato’ Saifuddin Abdullah menyatakan kesediaan pihak kerajaan untuk membawa keluar rakyat Malaysia dari Iran dan Iraq sekiranya keadaan memerlukan.

Menurut beliau, satu mesyuarat bersama agensi-agensi lain telah diadakan pada hari ini dan dipengerusikan oleh Dato’ Amran Mohamed Zin, Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Negeri.

“Mesyuarat ini diadakan bagi menilai dan membincangkan situasi yang berlaku di Timur Tengah khususnya pembunuhan Qasem Soleimani serta serangan peluru berpandu oleh Iran pada awal pagi tadi,” jelasnya.

Antara agensi yang hadir adalah Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan Malaysia, Kementerian Pendidikan, Jabatan Perdana Menteri, Polis Diraja Malaysia, dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Kita memantau perkembangan yang berlaku dan telah membuat nasihat perjalanan semalam,

“Kita turut membuat persiapan sekiranya perlu untuk melakukan evakuasi,” kata Saifuddin dalam satu sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong I bersama Timbalan Perdana Menteri serta Menteri-menteri kabinet, hari ini.

Menurut Saifuddin, seramai 58 rakyat Malaysia berada di Iran dengan sebahagian besar daripadanya adalah pelajar.

“Kita ada 162 rakyat Malaysia di Iraq dengan 6 atau 7 daripadanya adalah pensyarah dan majoriti adalah kakitangan Petronas,” jelasnya.

Beliau menambah, pihak Wisma Putra telah mengeluarkan arahan bersiap-sedia kepada pihak kedutaan yang berdekatan sekiranya evakuasi diadakan.

Pada masa yang sama, beliau menasihatkan mana-mana rakyat Malaysia yang berada di Iran dan Iraq untuk sentiasa berhubung dengan kedutaan yang berdekatan.

“Kita juga nasihatkan rakyat Malaysia yang ingin melakukan lawatan ke sana untuk menangguhkan hasrat mereka sekiranya tiada perkara mustahak,” ujar Saifuddin.

Semalam, Wisma Putra telah mengeluarkan notis nasihat perjalanan ke kawasan Timur Tengah khususnya di rantau Teluk Parsi.

Related Articles

Leave a Reply