Home Semasa Fokus 2020: PDRM pertingkat integriti pegawai, anggota – KPN

Fokus 2020: PDRM pertingkat integriti pegawai, anggota – KPN

by Bernama

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Perkara utama yang akan dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun ini adalah meningkatkan integriti pegawai dan anggotanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata berlandaskan integriti baik, perkhidmatan yang disampaikan kepada masyarakat akan menjadi lebih lancar.

“Bukan saja kes jenayah, malah isu dadah juga dapat dibanteras sekiranya permasalahan integriti diatasi kerana ia adalah ibu kepada segala penguatkuasaan undang-undang,” katanya pada sidang media khas sempena pencapaian tahun 2019 dan perancangan tahun 2020 PDRM di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata PDRM berdepan dengan pelbagai cabaran tahun ini termasuk kekurangan keanggotaan memandangkan tiada penambahan anggota baharu.

“Oleh kerana itu, ada antara pegawai dan anggota jabatan tertentu dipinjamkan ke jabatan lain seperti Pasukan Simpanan Persekutuan dipinjamkan ke Unit Polis Pelancong,” katanya.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kerajaan meluluskan beberapa projek melibatkan PDRM antaranya kuarters kediaman PDRM yang akan dilaksanakan tahun ini,” katanya.

Selain itu, beliau juga melahirkan rasa syukur apabila beberapa elaun melibatkan kakitangan PDRM diseragamkan dengan agensi lain. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply