Home Semasa Jawi: Dong Zong serah memorandum, mahu jumpa Menteri Pendidikan

Jawi: Dong Zong serah memorandum, mahu jumpa Menteri Pendidikan

by Bernama

PUTRAJAYA, 2 Jan – Pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) hari ini menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan berhubung pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Antara lain memorandum dua muka surat itu menggesa satu pertemuan bersama Menteri Pendidikan diadakan segera dengan pertubuhan itu bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular.

Memorandum yang turut memuatkan resolusi hasil perbincangan oleh 17 pertubuhan berkenaan pada 28 Dis lepas itu diterima oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan) Dr Habibah Abdul Rahim.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) Tan Cheng Suan ketika ditemui media selepas menyerahkan memorandum itu di Kementerian Pendidikan di sini berkata pertemuan kira-kira 40 minit bersama Habibah berlangsung dalam keadaan mesra.

Katanya, peluang itu digunakan bagi menjelaskan bahawa pertubuhan itu tidak membantah pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi tetapi kurang berpuas hati dengan cara penerangan dan kaedah pelaksanaan yang dibuat seolah-olah ia bukan satu pilihan.

Yang turut hadir Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) Tan Tai Kim.

Ogos lepas, Kementerian Pendidikan mengesahkan akan tetap melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada 2020 seperti yang dijadualkan walaupun mendapat bantahan mengenai pengajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply