Home Semasa Isu tulisan jawi: Dong Jiao Zong perlu hormati keputusan Kabinet – Syed Saddiq

Isu tulisan jawi: Dong Jiao Zong perlu hormati keputusan Kabinet – Syed Saddiq

by Bernama

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Pertubuhan pendidikan Cina Dong Jiao Zong harus menghormati keputusan Kabinet, mengekalkan kebenaran pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu termasuk di sekolah-sekolah vernakular.

Justeru itu Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyarankan kumpulan pendidikan Cina itu, agar tidak meneruskan hasrat melangsungkan kongres bagi membantah isu itu pada 28 Dis ini.

“Saya rasa perkara ini kita sudah cari jalan kompromi dan jalan tengah, kerana ia sudah dibincangkan begitu panjang dalam Kabinet, dan kita sudah capai kata sepakat atau konsensus.

“Paling penting kita kena memandang ke depan kerana ada empat isu utama yang rakyat Malaysia mahukan membabitkan ekonomi, kos sara hidup, perumahan dan pekerjaan. Tolonglah fokus empat perkara ini kerana ia paling mustahak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan sidang kemuncak eUsahawan Hero Muda anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Facebook Malaysia, di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed memberi amaran mengenai akibat sekiranya kumpulan itu meneruskan kongres yang dirancang itu, mungkin mengakibatkan kaum Melayu juga menganjurkan kongres mereka, bagi membincangkan usaha menutup sekolah-sekolah vernakular Cina.

Perdana Menteri turut menasihatkan setiap pihak bertimbang rasa terhadap sentimen pihak lain.

Ogos lepas, Kementerian Pendidikan mengesahkan akan tetap melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat, pada tahun hadapan seperti yang dijadualkan.

Walaupun mendapat bantahan mengenai pengajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular, bulan lepas Mahkamah Tinggi di George Town, Pulau Pinang memutuskan bahawa pengajaran tulisan Jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Malaysia, dan boleh diajar di sekolah-sekolah Cina dan Tamil.

Sementara itu ,mengulas program eUsahawan Hero Muda 2019, Syed Saddiq berkata ia antara langkah pro aktif KBS, untuk menggalakkan inovasi, meningkatkan kemahiran bakat, serta mengasah kemahiran generasi muda.

“Mereka (usahawan muda) ini memang dilatih menjadi usahawan muda, khususnya dalam bidang digital agar mereka tahu bagaimana untuk mempromosi produk-produk menggunakan teknologi tinggi dalam dunia globalisasi,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.

Program eUsahawan Hero Muda 2019 berjaya melatih seramai 20,653 anak muda di seluruh negara, membabitkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM52.4 juta.

Menerusi program itu , anak muda dilatih menjadi usahawan, khusus dalam bidang digital, dengan cara mempromosi produk menggunakan teknologi tinggi, dalam dunia globalisasi.

Sejak dilancarkan pada 2015, program itu berjaya melatih seramai 328,948 usahawan mikro di seluruh negara, dengan transaksi jualan melebihi RM668 juta – Bernama

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply