Home Semasa Cubaan hidup kembali ideologi komunis langgar Perjanjian Hatyai – Bekas polis

Cubaan hidup kembali ideologi komunis langgar Perjanjian Hatyai – Bekas polis

by Bernama

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Sebarang cubaan mewujudkan kembali ideologi Parti Komunis Malaya (PKM) di negara ini adalah melanggar Perjanjian Hatyai 1989, kata Naib Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) Datuk Wong Pui Lam.

Beliau yang turut menjadi sebahagian wakil rundingan perjanjian itu berkata perjanjian damai yang ditandatangani antara kerajaan dan PKM dengan jelas tertulis semua bekas ahli PKM yang diterima kembali sebagai rakyat negara ini perlu taat setia kepada raja dan negara.

Menurutnya, dalam perjanjian yang dibuat kerajaan di Hatyai, Thailand pada 2 Dis 1989, jelas menyatakan bekas ahli PKM tidak lagi dibenar menyebar atau cuba menghidupkan ideologi komunis di negara ini.

“Parti itu telah diharamkan… perjanjian damai dahulu, mereka perlu letak senjata dan disebutkan komunis tidak boleh berada di Malaysia.

“Mereka dah langgar perjanjian (jika cuba) wujud semula ideologi… dalam perjanjian dahulu mereka hanya boleh taat setia kepada raja dan negara,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di sini, semalam.

Beliau berkata masyarakat perlu sedar dan menolak ideologi PKM ini kerana parti itu telah menyebabkan kematian ramai pihak berkuasa dan orang awam dalam beberapa siri serangan suatu ketika dahulu.

Timbalan Presiden Respa, Datuk Mangsor Ismail turut menzahirkan kebimbangan mengenai ideologi PKM dan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba menghidupkan semula ideologi itu.

Polis, baru-baru ini menerima laporan berhubung isu membawa pulang abu mayat bekas pemimpin PKM Chin Peng ke negara ini dan penganjuran perhimpunan Majlis Peringatan Perjanjian Damai Hatyai di Kajang, Selangor pada 1 Dis lepas.

Mangsor berkata perkara itu jika tidak dibendung dari awal dikhuatiri akan menggugat ketenteraman awam dan keamanan negara.

Beliau berkata bagi menzahirkan bantahan terhadap perkara itu, Respa bersama 10 persatuan pesara polis akan mengadakan perhimpunan Pejuang Negara pada 24 Dis (Selasa) di Padang Merbok, Kuala Lumpur yang dijangka menghimpunkan lebih 1,500 pesara polis. – Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply