Home Pertahanan dan Keselamatan 5,000 veteran tentera tidak berpencen terima Bantuan Harapan Negara

5,000 veteran tentera tidak berpencen terima Bantuan Harapan Negara

by Bernama

KANGAR, 20 Dis – Kira-kira 5,000 ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) yang tertangguh menerima Bantuan Harapan Negara (BHN) disebabkan masalah teknikal akan menerima bantuan itu, kata Presiden PVATTBM Ismail Abidin.

Beliau menjelaskan mereka adalah antara 66,000 ahli PVATTBM seluruh negara yang layak menerima bantuan tersebut tetapi terlewat menerimanya disebabkan masalah teknikal terutama mereka yang mempunyai masalah dengan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Pemberian bantuan tersebut dapat melegakan hati mereka yang terlibat apabila sebelum ini hanya melihat rakan-rakan memperolehi bantuan daripada kerajaan itu.

“BHN itu diberi secara berperingkat-peringkat bermula 17 Dis lepas yang dijangka keseluruhan mereka yang layak akan menerimanya sebelum akhir bulan ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Bagi ahli tidak menghadapi sebarang masalah teknikal telah menerima bantuan masing-masing yang diberi secara berperingkat mulai 27 Mei lepas, katanya.

“Mereka turut mendapat bonus RM250 daripada PVATTBM yang diberikan kepada semua kira-kira 250,000 ahli PVATTBM.

“Saya berharap pemberian bonus dan BHN itu dapat meringankan beban para veteran tentera tidak berpencen,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply