Home Semasa Dakwaan Azilah dibawa keluar bertemu VVIP tidak benar – Jabatan Penjara Malaysia

Dakwaan Azilah dibawa keluar bertemu VVIP tidak benar – Jabatan Penjara Malaysia

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan kononnya bekas anggota Unit Tindakhas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk bertemu orang kenamaan atau VVIP yang tidak dikenali pada Februari 2019.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Penjara menegaskan pihak mereka tidak pernah membawa Azilah keluar dari Penjara Kajang sepanjang tahun 2019.

“Malah penama (Azilah) tidak pernah dibawa keluar dari penjara berkenaan semenjak 15 April 2015,

“Kali terakhir penama dibawa keluar dari Penjara Kajang adalah pada 15 April 2015 iaitu bagi urusan menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Sepang,” kata kenyataan itu.

Manakala pengiringan membawa keluar Azilah bagi menghadiri perbicaran itu dilaksanakan setelah Penjara Kajang menerima Perintah Mengemukakan Orang Dalam Jagaan dari Mahkamah Sepang, seperti mana di bawah Seksyen 30 Akta Penjara yang mengkehendaki banduan menghadirkan diri di mahkamah seperti mana masa dan tempat yang telah dinyatakan.

“Berdasarkan rekod semenjak tarikh tersebut penama (Azilah) tidak pernah dibenarkan untuk dibawa keluar dari penjara untuk apa-apa juga urusan. Rekod lawatan dan perjumpaan juga menunjukkan banduan telah dilawati sebanyak 34 kali oleh keluarga dan 15 kali oleh peguam beliau di Penjara Kajang sejak setahun yang lalu,

“Lawatan ini dijalankan seperti mana Peraturan 179 Peraturan Penjara 2000 berkenaan lawatan kepada mana-mana banduan akhir,” jelas kenyataan itu.

Oleh itu sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak yang mengatakan Azilah telah dibawa keluar dari Penjara Kajang pada tahun ini untuk menemui VVIP adalah tidak benar sama sekali, tegas Jabatan Penjara.

Semalam, peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa Azilah dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk bertemu seorang kenamaan (VVIP) pada Februari lalu.

Related Articles

Leave a Reply