Home Diskusi Ucapan penggulungan Timbalan Menteri Pertahanan di Dewan Negara.

Ucapan penggulungan Timbalan Menteri Pertahanan di Dewan Negara.

by Liew Chin Tong

Tuan Yang di-Pertua,

Secara amnya, isu-isu yang dibawa oleh ahli-ahli Yang Berhormat di dewan adalah seperti berikut:

  1. Kesejahteraan Anggota dan Veteran, khasnya berkenaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan elaun Pingat Jasa Malaysia (PJM) untuk Veteran, yang dibawa oleh YB Senator Suresh Singh dan YB Senator Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah.
  2. Ketelusan Tatacara Perolehan Peralatan dan Pengurusan Kewangan ATM, yang dibawa oleh YB Senator IR Md Nasir bin Hashim dan YB Senator Laksamana Pertama Haji Mohamad Imran bin Abd Hamid.
  3. Konsep Dua Medan, yang dibawa oleh YB Senator Tuan Zaiedi bin Hj Suhaili dan YB Senator Datuk Paul Igai.
  4. Isu pengawasan kawasan perairan di Beting Patinggi Ali (BPA), yang dibawa oleh YB Senator Tuan Zaiedi bin Hj Suhaili.

Empat tema utama Angkatan Tentera Malaysia

Tuan Yang di-Pertua,

Sebelum menjawab kesemua persoalan ini, izinkan saya memaklumkan Dewan yang mulia ini bahawa jumlah belanjawan yang diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan bagi tahun 2020 adalah sebanyak RM15.6 bilion, yang menjadikan Kementerian ini sebagai Kementerian yang ke-5 terbesar menerima peruntukan.

Jumlah ini meningkat sebanyak 12% (RM1.67 billion) berbanding dengan jumlah yang diterima pada tahun 2019 iaitu sebanyak RM13.9 bilion. Bagi peruntukan tahun 2020 ini, RM12.5 bilion adalah bagi Belanja Mengurus (OE – Operational Expenditure​) manakala RM3.08 bilion adalah bagi Belanja Pembangunan (DE – ​Development Expenditure​).

Belanjawan Kementerian Pertahanan akan memfokuskan kepada empat (4) tema utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu:

  1. Memastikan kesiapsiagaan ATM berada pada paras ​’Full MissionCapable’​;
  2. ​Menjamin kesejahteraan dan kebajikan anggota tentera termasuk veteran ATM;
  3. Memperkukuhkan jaringan strategik dan hubungan diplomasi terutamanya dalam kalangan negara-negara ASEAN dan di peringkat antarabangsa; dan
  4. Meningkatkan integriti dalam tatacara pengurusan kewangan dan perolehan selaras dengan janji Kerajaan Pakatan Harapan untuk memastikan Kerajaan mempunyai perancangan yang mampan dalam
    mentadbir negara.

Rumah Keluarga Angkatan Tentera

Tuan Yang di-Pertua,

Isu Pertama yang akan saya jawab adalah berkenaan Kesejahteraan Anggota dan Veteran. Khasnya, YB Senator Suresh Singh a/l Rashpal Singh telah mengemukakan persoalan berkenaan keadaan Rumah Keluarga Angkatan
Tentera (RKAT). Selain itu, beliau dan YB Senator Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah turut telah membangkitkan persoalan tentang elaun Pingat Jasa Malaysia dan kebajikan Veteran.

Tuan Yang di-Pertua,

Menjawab pertanyaan berkaitan senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT). Dimaklumkan bahawa sejak tahun 2015, berdasarkan Laporan Audit Negara Siri 1 Tahun 2018 mendapati sebanyak 12,261 unit RKAT adalah tidak selamat diduduki, di mana sebanyak 9,744 unit tidak dapat diduduki langsung disebabkan mengalami kerosakan yang teruk.

Pihak Kementerian mensasarkan sehingga 6,000 unit RKAT untuk disenggara dan dinaik taraf daripada peruntukan belanjawan 2020.

Walaubagaimanapun, sukacita saya maklumkan bahawa pihak Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM50 juta pada tahun ini untuk kerja-kerja senggaraan RKAT tersebut. Melalui peruntukan tersebut, sebanyak 1,961 unit RKAT telah berjaya disenggara dan dibaik pulih sepenuhnya pada tahun ini.

Untuk tahun 2020 pula, pihak Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta kepada Kementerian ini bagi senggaraan RKAT. Melalui peruntukan ini Kementerian sedang merancang gerak kerja yang lebih agresif agar lebih banyak kerja-kerja senggaraan dan naik taraf terhadap unit-unit RKAT dapat dilaksanakan pada tahun 2020 demi memberikan keselesaan kepada anggota tentera dan keluarga mereka. Pihak Kementerian mensasarkan sehingga 6,000 unit RKAT untuk disenggara dan dinaik taraf daripada peruntukan berkenaan.

Memandangkan isu senggaraan RKAT adalah merupakan isu yang telah berlarutan sejak sekian lama, peruntukan khas yang diluluskan kepada Kementerian akan digunakan dengan sebaik mungkin bagi memberikan keselesaan kepada semua warga anggota tentera dan dalam masa yang sama menjadikan RKAT sebagai kediaman yang selesa dan kondusif untuk diduduki oleh anggota tentera dan keluarga mereka.

Elaun bulanan Pingat Jasa Malaysia

Tuan Yang di-Pertua,

Menjawab pertanyaan ​berkaitan pemberian elaun bulanan Pingat Jasa Malaysia. Pada tahun 2020, Kerajaan akan membuat pemberian secara ​one-off kepada penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM), seramai ​68,804 orang penerima PJM dijangka akan menerima dengan kadar pembayaran RM500 setiap orang, melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM34 juta.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini juga, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM250 kepada Pesara Awam Persekutuan (termasuk pesara tentera), yang mana
manfaat ini turut dipanjangkan kepada para Veteran ATM Tidak Berpencen.

Seramai 68,804 orang penerima PJM dijangka akan menerima dengan kadar pembayaran RM500 secara one-off mulai pada tahun hadapan.

Dianggarkan seramai ​314,184 orang Veteran ATM Berpencen dan Veteran ATM Tidak Berpencen akan menerima manfaat ini, dengan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM78 juta.

Untuk makluman Dewan yang mulia, bayaran bagi Bantuan Khas Kewangan (BKK) akan dibayar pada 18 Disember 2019 dan untuk bayaran ​one-off PJM akan dibayar tahun hadapan selepas mendapat peruntukan kewangan daripada Kementerian Kewangan, dan dijangka akan di bayar sebelum Hari Raya Aidil Fitri (pada bulan Mei 2020).

Selain itu, untuk meningkatkan taraf sosioekonomi golongan veteran, melalui KPP, Kementerian turut sedang mengusahakan inisiatif kerjaya kedua. Inisiatif ini akan menyasarkan mereka yang baru sahaja bersara daripada tentera, dalam lingkungan usia 40’an hingga 50’an. Sememangnya, golongan veteran mempunyai kemahiran dan pengalaman yang unik dan boleh dimanfaatkan oleh sektor luar daripada tentera.

Land swap Kem Skudai, penutupan Kem Majidee

Tuan Yang di-Pertua,

Isu Kedua ​pula adalah berkenaan ketelusan tatacara perolehan peralatan dan pengurusan kewangan ATM. Khasnya, YB Senator IR Md Nasir bin Hashim turut telah bertanyakan tentang halatuju Kem Skudai, yang merupakan salah satu kem pertukaran tanah / ​land swap​. Selain itu, beliau turut telah mengutarakan satu perbandingan peruntukkan belanjawan Kementerian Pertahanan dan negara-negara ASEAN lain​. Isu ini ada juga kaitan dengan persoalan tentang perolehan AV8, MD530G, dan LCS yang dibawa oleh YB Senator Laksamana Pertama Haji Mohamad Imran bin Abd Hamid.

Tuan Yang di-Pertua,

Menjawab pertanyaan daripada YB Senator IR Md Nasir bin Hashim berkaitan projek pertukaran tanah Kem Skudai. Saya ingin mengingatkan ahli-ahli dewan berkenaan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diketuai oleh Tan Sri Ambrin Buang ke atas 16 projek ​land swap yang dikendalikan oleh kerajaan sebelum ini. Kem Skudai merupakan salah satu daripada 16 projek tersebut.

Laporan tersebut mendapati bahawa ​syarikat yang dipilih iaitu KKSB tidak mempunyai keupayaan dari segi pengalaman, teknikal dan kewangan. Proses due diligence tidak juga dilaksanakan ke atas syarikat KKSB sama ada oleh EPU ataupun KEMENTAH. Ketiadaan ​due diligence ini antara sebab projek ini gagal kerana ia dilaksanakan oleh syarikat yang tidak mempunyai keupayaan teknikal dan kewangan.

Tuan Yang di-Pertua,

Bagi hala tuju penyelesaian isu yang dihadapi Kem Skudai, berdasarkan Perancangan Strategik Tentera Darat, pembangunan Kem Skudai ini akan tetap diteruskan pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, ia tertakluk
kepada keupayaan kewangan negara. Pelaksanaan projek ini akan berlandaskan garis panduan dan syor-syor daripada Laporan Tan Sri Ambrin Buang untuk memastikan keperluan Tentera Darat dipenuhi.

Bagi kerisauan YB tentang aspek kawalan pertahanan di negeri Johor, ianya tetap terpelihara kerana pasukan-pasukan yang pernah berada di Kem Majidee dahulu telah ditempatkan semula di kem-kem tetap dan di penempatan-penempatan sementara di sekitar negeri Johor.

Keputusan kerajaan terdahulu yang gagal memastikan kem Skudai dibangunkan sebelum Kem Majidee dijual adalah dikesali. Kerajaan hari ini sedang mencari jalan untuk membaiki keadaan terbabit.

Pelan pelaburan strategik pertahanan

Tuan Yang di-Pertua,

Menjawab isu perbandingan peruntukkan pertahanan yang dibawa oleh YB Senator IR Md Nasir bin Hashim, kementerian mengambil maklum tentang perkara ini. Sukacita untuk saya maklumkan kepada ahli-ahli Dewan bahawa Kementerian Pertahanan mengambil pandangan yang sangat holistik dan akan melaksanakan tiga pelan teras untuk memastikan ATM dibangunkan dengan baik, iaitu Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN), Rangka Tindakan Kapasti Pertahanan (RTKP), dan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).

3PN merupakan pelan terperinci Kementerian Pertahanan untuk menumpukan usaha pelaburan pertahanan secara strategik supaya ATM masa depan merupakan ATM yang bersepadu, cekap, dan fleksibel. Dijangka, 3PN akan dikemukakan pada tahun 2021, dan akan dilaksanakan sehingga tahun 2030.

Pelan ini akan diiktiraf oleh Kerajaan secara keseluruhan dan akan diberi peruntukkan secukupnya. RTKP pula berkenaan pembangunan modal insan di Kementerian Pertahanan dan ATM supaya tenaga kerja kita sentiasa berkemahiran tinggi dan menepati keperluan cabaran semasa. Akhir sekali, DIPN pula akan  mentransformasikan industri pertahanan tempatan yang sekian lama hanya dipenuhi dengan orang tengah yang tidak menambah nilai kepada ekonomi negara. Kedua-dua pelan ini akan dikemukakan dalam tempoh 2020 hingga 2021, dan akan dilaksanakan sehingga tahun 2030.

Dengan ini, sudah jelas bahawa Kementerian Pertahanan melalui Kertas Putih Pertahanan telah bersedia untuk melaksanakan satu perubahan yang komprehensif dan mengatasi cabaran pentadbiran sebelum ini demi pertahanan negara.

Meningkatkan ketelusan dan kecekapan tadbir urus perolehan

Tuan Yang di-Pertua,

Pada masa yang sama, pelan-pelan ini adalah penting untuk meningkatkan ketelusan dan kecekapan tadbir urus perolehan dan kewangan Kementerian Pertahanan. Sebagai satu rangka tindakan, pelan-pelan ini akan secara jelas menyatakan keperluan semasa ATM, menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil, serta menetapkan jadual perolehan yang sesuai. KPP merupakan dokumen terbuka, dan ini secara langsung akan membenarkan Parlimen dan Rakyat Malaysia untuk menjalankan semak imbang terhadap Kementerian Pertahanan dalam mencapai sasaran KPP tersebut.

Hal ini sangat penting kerana ketiadaan pelan sebegini telah banyak menyebabkan perolehan peralatan dan senjata ATM sebelum ini tergendala ataupun lewat, dan kualiti kerja yang tidak memuaskan. Sebagai contoh ialah projek-projek yang telah dipersoalkan oleh YB Senator Laksamana Pertama Haji Mohamad Imran bin Abd Hamid, iaitu projek kenderaan berperisai AV8, helikopter MD530G, dan ​Littoral Combat Ship ​(LCS).

Perolehan helikopter MD530G akan ditentukan semasa Mesyuarat Kabinet.

Untuk menjawab persoalan YB Senator Laksamana Pertama, jumlah peruntukan kewangan Kementerian Pertahanan untuk projek-projek tersebut adalah seperti berikut:

  1. Kenderaan Perisai 8X8 – RM540 juta.
  2. Helikopter MD530G – RM40 juta bagi tahun 2020. Perolehan aset ini akan dipertimbangkan secara teliti dan akan diputuskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa yang terdekat.
  3. Littoral Combat Ship (LCS) – rancangan peruntukan perbelanjaan bagi tahun 2020 adalah berjumlah RM350 juta, namun ianya tertakluk kepada prestasi kemajuan projek berkenaan.

Tuan Yang di-Pertua,

Kesemua projek ini telah disiasat oleh Jawatankuasa Siasatan yang diketuai oleh Tan Sri Ambrin Buang. Laporan-laporan tersebut telah pun dimajukan kepada pihak SPRM untuk tindakan lanjut. Pihak Jawatankuasa juga telah mendapati kesemua projek adalah bersifat ​vendor driven​, di mana cabang-cabang perkhidmatan ATM telah diberikan peralatan tersebut tanpa pertimbangan kepada keperluan sebenar.

Oleh sebab setiap projek ini bernilai tinggi, ia menjadi satu beban yang akan diwarisi oleh rakyat untuk tahun-tahun yang akan datang. Secara ringkasnya, program-program ini tidak menepati keperluan semasa ATM, tidak
dikendalikan dengan baik, dan tidak menambah nilai kepada pengguna, dan secara tidak langsung, kepada pertahanan dan keselamatan negara.

Ini seterusnya menekankan keperluan satu pelan pembangunan ATM secara bersepadu, yang diiktiraf oleh seluruh kerajaan, dan terbuka kepada penelitian oleh rakyat dan Parlimen sendiri meneliti kemajuannya.

Konsep Dua Medan Angkatan Tentera Malaysia

Seterusnya, ​Isu Ketiga ​adalah berkenaan konsep dua medan yang diterajui oleh Angkatan Tentera Malaysia. Persoalan ini dibawa oleh YB Senator Tuan Zaiedi bin Hj Suhaili dan YB Senator Datuk Paul Igai, yang menyatakan kebimbangan sama ada pengagihan kekuatan dan peralatan di Sabah dan Sarawak adalah cukup untuk keperluan keselamatan dan pertahanan Borneo.

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman kedua-dua YB, pihak Kementerian sentiasa memberi perhatian yang serius terhadap keselamatan negeri Sarawak dan Sabah. Ketika ini, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Tentera Darat telahpun menempatkan formasi-formasi di kedudukan yang strategik bagi mempertahankan kedaulatan Malaysia Timur. Penempatan formasi-formasi ini adalah berlandaskan konsep dua medan ataupun ​two theater mirroring yang telah diperjelaskan di dalam KPP. Menerusi konsep ini, kekuatan akan diimbangkan antara Semenanjung dan Borneo.

Misalnya, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat yang berpusat di Kem Muara Tuang, Kuching telah diperkukuhkan dengan dua (2) Divisyen Infantri iaitu satu divisyen ditempatkan di Sarawak dan satu lagi divisyen ditempatkan di Sabah.

Sebagaimana YB sedia maklum, kedudukan Malaysia terletak di tengah-tengah perairan strategik Asia Tenggara dan dikelilingi Laluan Perhubungan Laut (SLOC). Sukacitanya saya ingin maklumkan dan menekankan bahawa ATM masih berkemampuan untuk beroperasi di dua wilayah secara serentak, walaupun kedudukan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak dipisahkan oleh Laut China Selatan.

Tuan Yang di-Pertua,

Keseluruhan keselamatan di Sarawak berada di bawah tanggungjawab Divisyen Pertama Infantri yang berpangkalan di Kem Penrissen, Kuching bersama-sama Briged-briged Infantri yang berada di bawah pemerintahannya.

Setiap briged di tempatkan di lokasi-lokasi strategik seperti berikut:

  1. Briged Ke-3 Infantri​. Berpangkalan di Kem Penrissen, Kuching yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan di kawasan Barat Sarawak;
  2. Briged Ke-9 Infantri​. Berpangkalan di Kem RASCOM, Sibu yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan di kawasan Timur Sarawak;
  3. Briged Ke-31 Infantri​. Satu perancangan untuk pembinaan kem baru di bawah RMK-12 dan akan dipindahkan dari Sibu ke Bakun setelah pembinaan kem baru tersebut siap sepenuhnya. Briged ini akan dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan di kawasan Sempadanan Daratan Sarawak/Indonesia.

Bagi keselamatan di Sabah pula, ia adalah tanggungjawab Divisyen Kelima Infantri yang berpangkalan di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu. Setiap Briged Infantri yang berada di bawah pemerintahannya ditugaskan untuk menjaga keselamatan di setiap sektor yang telah ditetapkan seperti berikut:

  1. Briged Ke-5 Infantri​. Berpangkalan di Kem Paradise, Kota Belud yang bertanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan Pantai Barat Sabah.
  2. Briged Ke-13 Infantri. Berpangkalan di Kem Cenderawasih, Lahad Datu yang bertanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah.
  3. Briged Ke-32 Infantri. Dirancang ditubuh baru di bawah RMK-12 dan akan berpangkalan di Kalabakan, Tawau yang bertanggungjawab menjaga keselamatan kawasan Sempadan Daratan Sabah/Indonesia.

Melalui formasi-formasi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negeri Sarawak dan Sabah, Tentera Darat melaksanakan operasi-operasi yang berterusan sepanjang tahun terutamanya di sempadan daratan kedua-dua negeri tersebut dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Malaysia sentiasa melaksanakan kerjasama pertahanan dengan negara jiran untuk mempertingkatkan tahap keselamatan antara kedua-dua negara di kawasan sempadan.

Operasi yang dilaksanakan melibatkan Operasi Teras (aktiviti rondaan di sempadan daratan yang melibatkan Tentera Darat Malaysia-TDM sahaja), Operasi Gabungan (aktiviti rondaan di sempadan daratan melibatkan
TDM bersama TNI-AD) dan Operasi Bersama (Operasi secara bersama di sempadan daratan dan perairan melibatkan TDM, TLDM dan TUDM yang dikoordinasikan oleh Markas Angkatan Bersama).

Bagi memperkukuhkan lagi hubungan baik dalam diplomasi pertahanan dengan negara jiran yang mempunyai sempadan daratan dengan Malaysia Timur, forum-forum seperti ​General Border Committee (GBC) Malaysia-Indonesia (MALINDO) dan jawatankuasa di bawahnya seperti Tim Perancang Operasi Darat (TPOD) diadakan setiap tahun.

Forum-forum ini digunakan untuk membincangkan isu keselamatan bersama yang dihadapi dan diselesaikan secara baik.

Kesimpulannya, melalui penstrukturan organisasi Tentera Darat, operasi-operasi yang dilaksanakan dan kerjasama bilateral dengan negara yang berkaitan, keselamatan Malaysia Timur akan terus dipelihara.

Markas Wilayah Laut 4 Bintulu

Bagi ​Isu Keempat​, YB Senator Zaiedi bin Hj Suhaili telah mengemukakan persoalan berkenaan pembangunan Pangkalan TLDM Bintulu, iaitu Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4), di Pangkalan Bintulu.

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman YB, TLDM merancang untuk membina Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu. Namun, ia masih di peringkat perbincangan antara TLDM dan Kerajaan Negeri Sarawak untuk mendapatkan tanah di Bintulu.

Pemilihan Bintulu adalah kerana lokasinya yang strategik dari segi kedudukan serta pemusatan operasi maritim di Laut China Selatan. Ia terletak pada jarak yang terhampir dengan Beting Raja Jarom (BRJ) dan Beting Patinggi Ali (BPA) berbanding markas-markas operasi Tentera Laut yang lain membuatkan Bintulu adalah sebuah lokasi yang paling strategik untuk menugaskan kapal-kapal TLDM di Laut China Selatan.

Kehadiran TLDM di Bintulu dengan penubuhan Markas Wilayah laut 4 akan memberikan impak dari segi tahap keselamatan di perairan Laut China Selatan.

Kehadiran TLDM menerusi pengwujudan MAWILLA 4 di dalam kawasan Pelabuhan Bintulu didapati akan memberikan ​’security assurance’ kepada komuniti maritim setempat dan akan memberikan impak yang positif kepada peningkatan sosio-ekonomi di Bintulu bagi jangka masa yang panjang.

TLDM akan terus bekerjasama dengan semua pihak terutama sekali dengan pihak Kerajaan Negeri Sarawak dan pihak-pihak lain yang berkepentingan bagi mempercepatkan pembinaan MAWILLA 4 di Bintulu tertakluk kepada kemampuan kewangan negara pada masa akan datang.

Tuan Yang di-Pertua,

​Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli-ahli YB Senator yang telah terlibat membahaskan isu-isu di bawah tanggungjawab Kementerian Pertahanan. Sesungguhnya segala pandangan dan cadangan pihak ahli-ahli YB Senator amat dihargai serta menunjukkan tahap keperhatinan yang tinggi atas isu keselamatan dan pertahanan negara.

Pihak kementerian akan mengoptimumkan peruntukan yang diluluskan dengan menyusun semula strategi serta keutamaan perbelanjaan berdasarkan fokus tema utama ATM seperti yang telah saya nyatakan tadi serta mengamalkan perbelanjaan berhemah agar keupayaan dan kesiagaan ATM sentiasa berada di tahap yang terbaik tanpa mengira masa dan keadaan.

Sekian, terima kasih.

Penulis merupakan Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia. Teks merupakan ucapan beliau semasa sesi Menggulung Perbahasan Belanjawan Tahun 2020 di Dewan Negara pada 16 September 2019.

Related Articles

Leave a Reply