Home Semasa Anwar sedia beri keterangan dakwaan salah laku seksual

Anwar sedia beri keterangan dakwaan salah laku seksual

by Bernama

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan terhadap dakwaan Muhammed Yusoff Rawther dirinya dicabul pemimpin itu pada 2 Okt tahun lepas.

Anwar dalam satu kenyataan hari ini menegaskan untuk berbuat demikian bagi membantu polis menyiasat kes itu.

“Merujuk kepada dakwaan fitnah terbaru terhadap saya, saya berterima kasih kepada pihak polis kerana telah menyegerakan siasatan mereka.

“Ingin saya tegaskan bahawa saya bersedia memberi keterangan kepada pihak polis dalam kadar segera untuk membantu siasatan,” katanya.

Awal hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata polis akan memanggil Anwar dan beberapa saksi lain yang berkaitan untuk memberi keterangan susulan dakwaan lelaki itu.

Beliau berkata, kesemua saksi itu akan dipanggil setelah polis mendapat tarikh temu janji yang sesuai.

Semalam, Muhammed Yusoff hadir semula di Bukit Aman buat kali kedua untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

Pada Sabtu, media melaporkan Muhammed Yusoff membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul supaya polis menyiasat dakwaannya dan dalam laporan sama beliau turut menzahirkan kebimbangan akan keselamatan dirinya yang diancam pihak tertentu.

Pada 4 Dis lepas, bekas pegawai penyelidik itu membuat perakuan bersumpah mendakwa dicabul Anwar pada 2 Okt tahun lepas. Bagaimanapun, perkara itu dinafikan presiden PKR itu yang mendakwa sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson pada tarikh berkenaan. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply