Home Pertahanan dan Keselamatan  ATM tetap kawal sempadan Malaysia-Thailand walaupun banjir

 ATM tetap kawal sempadan Malaysia-Thailand walaupun banjir

by Bernama

PASIR MAS, 6 Dis – Kedaulatan negara tetap terus dipertahankan walaupun sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan dilanda banjir, kata Panglima 2 Divisyen Mej Jen Datuk Mardzuki Muhammad.

Beliau berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih menempatkan sejumlah anggota walaupun ada beberapa pos kawalan tentera dinaiki air, sekaligus menafikan dakwaan beberapa pihak kononnya kawalan keselamatan negara longgar ketika musim banjir.

“Walaupun banjir kami masih berada di sempadan dan melaksanakan tugas dengan polis dan pelbagai agensi lain. Jadi dari segi (dakwaan) kawalan longgar, saya rasa kurang tepat.

“Mungkin dikatakan longgar sebab tak nampak kami di situ. Walaupun pos (kawalan) dinaiki air tapi sehingga kini kami tak keluar dari penempatan kami berada dan kami masih melaksanakan tugas seperti hari biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati di sini.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu turut meninjau keadaan 439 mangsa daripada 136 keluarga yang ditempatkan di PPS berkenaan sejak beberapa hari lepas.

Ditanya adakah ATM akan menempatkan lebih ramai anggota di sempadan negara ketika musim banjir, beliau berkata ia bergantung kepada ancaman yang mungkin berlaku sepanjang bencana terjadi.

“Kita tengok setiap sudut… tengok jika ada ‘traditional threat’ dan sebagainya namun bagi saya sempadan masih terkawal. Saya akui masih ada lagi penyeludupan yang berlaku tapi ia berlaku secara minimum,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata ATM juga menempatkan sejumlah pegawai dan anggota di seluruh jajahan di Kelantan ketika musim tengkujuh bagi memberi bantuan kepada penduduk yang memerlukan.

“Memang sekarang kita tak nampak askar bertugas kerana banjir masih di tahap satu. Bila di tahap kedua dan ketiga kita akan mula tempatkan (lebih ramai) tentera dari negeri lain untuk membantu,” katanya. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply