KUALA LUMPUR, 28 Nov – Blok Pembangkang diwakili Barisan Nasional (BN), Parti Islam Se Malaysia (PAS) dan juga Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak bersetuju dengan usul yang dibentangkan pihak kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penubuhan ini hanya bersifat sekadar cukup syarat dan lakonan semata-mata walaupun Sesi Pendengaran Umum telah dilakukan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang untuk mendapatkan maklum balas pihak-pihak berkepentingan dan orang awam.
“Segala bantahan dan cadangan tidak dimasukkan ke dalam syor serta tidak diambil peduli terutamanya pendapat daripada pelbagai pihak seperti wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pandangan orang awam,
“Malah pandangan dari pakar perundangan perlembagaan yang berpendapat IPCMC ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan juga tidak diambil kira,” kata Ahli Parlimen Bera itu dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Tambah Ismail, anggota-anggota PDRM haruslah diberi sokongan dan bukannya menekan mereka dengan melaksanakan undang-undang seperti ini.
Blok Pembangkang berpendapat agar kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada kebajikan pihak polis seperti menaik taraf balai-balai, keselesaan pejabat, perumahan anggota polis dan keluarga serta banyak lagi penambahbaikan untuk mereka.