Home Semasa DUN Johor lulus usul tindakan dikenakan terhadap pihak bawa balik abu mayat Chin Peng

DUN Johor lulus usul tindakan dikenakan terhadap pihak bawa balik abu mayat Chin Peng

by Bernama

ISKANDAR PUTERI, 28 Nov – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan usul supaya tindakan dikenakan terhadap pihak yang sengaja mencetus provokasi dengan membawa balik abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng ke negara ini.

Usul tersebut dibawa oleh Ayub Jamil (BN-Rengit) dengan mendapat sokongan 10 wakil rakyat supaya ia dibahaskan.

Selain Ayub, usul turut dibahas Datuk Ir Hasni Mohammad (BN-Benut) dan dua wakil rakyat kerajaan, Ysahruddin Kusni (PH-Bukit Naning) dan Khairudin A Rahim (PH-Senggarang).

“Ini cadangan saya, saya minta secara jujur dewan ini (DUN Johor) membuat keputusan sebulat suara, kita (DUN Johor) minta kerajaan mengambil tindakan segera kepada mereka yang sengaja mencetuskan provokasi ini (membawa pulang abu mayat Chin Peng),” katanya ketika membahaskan usul tersebut.

Hasni pula berkata komunis sememangnya ditolak rakyat malah pembinaan Galeri Darurat Bukit Kepong di Muar adalah bagi menyedarkan rakyat tentang keganasan komunis di negara ini.

“Sekiranya kita (DUN Johor) tidak suarakan bantahan sebagai badan tertinggi menggubal dasar negeri, ini bererti usaha membina Galeri Darurat Bukit Kepong adalah sia-sia.

“Sebagai dewan yang mulia, kita harus ada pendirian bahawa kita menolak perbuatan pihak yang mencetuskan perbuatan ini. Takkan dewan ini berdiam diri sahaja. Kami sebagai pembangkang merasakan dewan ini perlu menolak sekeras-kerasnya dan menetapkan pendirian menolak usaha untuk mencetuskan semula tentang sejarah hitam dalam negara kita,” katanya.

Sementara itu, Ysahrudin menegaskan isu abu mayat Chin Peng yang dibawa masuk ke negara ini merupakan isu keselamatan dan undang-undang manakala Khairudin berpandangan idelogi komunis bertentangan dengan negara ini.

“Mengikut berita yang kita baca, kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang, ini kenyataan Tan Sri Muhyiddin (Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin),” katanya.

Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat kemudian memaklumkan beliau menerima usul tersebut mengikut Perkara 29(3) Peraturan dan Perintah Tetap DUN Johor selepas ia senada diterima semua ADUN kerajaan dan pembangkang.

“Semua dalam dewan senada, oleh itu usul ini diterima. Ini usul pertama dalam sejarah DUN Johor di mana usul pembangkang diterima, ini membuktikan penambahbaikan ini membawa kebaikan semua,” katanya.

Media melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah dibawa masuk ke Malaysia pada 16 Sept lepas dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh, Perak pada 16 Sept lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Chin Peng meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada 2013 ketika berusia 89 tahun.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan mayat atau abu mayat Chin Peng tidak akan dibenar dibawa masuk ke negara ini sebagai menghormati keluarga dan waris anggota pasukan keselamatan serta rakyat yang terkorban ketika PKM melancarkan perang gerila untuk menggulingkan kerajaan ketika itu.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply