Home Pertahanan dan Keselamatan Ketua jurutera kapal jatuh laut, Maritim Malaysia aktifkan operasi pencarian

Ketua jurutera kapal jatuh laut, Maritim Malaysia aktifkan operasi pencarian

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang ketua jurutera kapal tangki MV Mariwit yang hilang di atas kapal sejak kelmarin.

Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Putrajaya, Laksamana Pertama (M) Mohd Zawawi Abdullah berkata, mangsa Jin Ying Lai, 49 tahun adalah warga China yang bertugas sebagai ketua jurutera di kapal berkenaan.

“Mangsa disedari hilang selepas kali terakhir ditemui di bilik enjin di kedudukan 3.7 batu nautika barat laut Butterworth, Pulau Pinang pada jam dua pagi 24 November 2019,

“Maritim Malaysia menerusi Maritime Rescue Command Centre (MRCC) menerima isyarat kecemasan daripada kapal MV Mariwit yang berdaftar dari Panama pada 10.24 malam dan seterusnya SAR diaktifkan pada jam 11:30,

“MRCC telah mengarahkan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi membantu koordinasi SAR di perairan Pulau Pinang dan Perak. Manakala Maritime Rescue SubCentre (MRSC) Johor Bharu untuk pencarian di perairan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Menurut Mohd Zawawi mangsa disahkan hilang oleh rakan sekerjanya pada jam lebih kurang 5:30 petang pada hari yang sama di kedudukan 40 batu nautika barat Pulau Ketam, Selangor di mana kapal tersebut ketika itu berada di luar perairan Malaysia dan sedang belayar menuju ke Kemaman, Terengganu.

Lokasi isyarat kecemasan oleh kapal MV Mariwit pada 10.24 malam. Foto: Maritim Malaysia

“APMM juga mengatur gerakkan sebuah helikopter AS 365 N3 Dauphin dari Stesen Udara Maritim Subang, sebuah kapal iaitu KM Marlin daripada APMM Perak, Bot Kilat 26 (APMM Pulau Pinang) serta Bot Kilat 15 dan Bot Petir 90 (APMM) Selangor.

“Selain aset APMM, turut terbabit dalam pencarian adalah Bot PSC 46 dari Pasukan Polis Marin Batu Uban, Pulau Pinang serta KD Tun Abdul Jamil Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” tambahnya.

Menurut beliau, dengan kawasan sektor pencarian yang luas merangkumi 679 batu nautika persegi bermula dari kawasan perairan Pulau Pinang hingga ke perairan Selangor, APMM melakukan inisiatif dengan menghantar notifikasi kepada semua kapal yang melalui kawasan perairan terbabit agar memaklumkan kepada pihak berkuasa marin itu sekiranya mempunyai sebarang maklumat.

“Setakat ini, usaha mencari dan menyelamat masih tidak menemui sebarang petanda dan ianya masih lagi diteruskan dan operasi ini telah memasuki hari kedua,

“Sebarang maklumat berkaitan perkara ini, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia (POMAR) di talian 03-89954001 untuk sebarang penyaluran maklumat berkaitan, katanya lagi.

Related Articles

Leave a Reply