Home Semasa Mujahid gesa SPRM siasat pegawai JAKIM terlibat rasuah

Mujahid gesa SPRM siasat pegawai JAKIM terlibat rasuah

by Bernama

GEORGE TOWN, 25 Nov – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan ada pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta bayaran sebanyak RM50,000 bagi tujuan pendaftaran premis pemprosesan daging halal di ibu negara.

Mujahid berkata pihaknya juga tiada halangan untuk SPRM menjalankan siasatan terhadap pegawai JAKIM hanya berpandukan sebuah artikel yang mendakwa terdapat pegawai di bahagian halal terlibat rasuah.

“JAKIM turut menjalankan siasatan dalaman sekarang ini (sedang berjalan) berhubung dakwaan itu oleh audit kami, saya harap akan mendapat maklumat yang lebih jelas mengenainya namun saya masih tidak puas hati dan minta SPRM segera masuk (ke JAKIM) untuk menyiasat.

Tiada halangan untuk SPRM menyiasat hanya berpandukan kepada artikel itu dan kami menyambut (SPRM) datang ke Bahagian Halal JAKIM untuk buat siasatan kerana ini penting untuk saya sebagai menteri yang menjaga Jakim membuka perkara itu secara terbuka…dakwaan berkenaan malah boleh menjejaskan Sijil Halal Jakim yang diiktiraf di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ucaptama di Simposium Wakaf Negeri Pulau Pinang Satu Evolusi, yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Mujahid berkata demikian ketika mengulas laporan satu artikel bertajuk Krisis Halal Malaysia diterbitkan oleh laman portal berita pada 10 Okt lepas mendakwa kakitangan JAKIM mempunyai isu seperti tidak cekap dan masalah integriti dalam urusan proses mendapatkan Sijil Halal Malaysia.

Artikel berkenaan antara lain mendakwa pegawai Jakim meminta bayaran bagi mendaftarkan premis memproses daging, tidak membantu dan sombong.

Mujahid yang mengulas mengenai artikel itu berkata ia hanya satu dakwaan untuk merosakkan imej JAKIM kerana tidak mempunyai bukti yang kukuh terhadap tuduhan tersebut dan menggesa penulis artikel itu serta semua pihak untuk tampil mengemukakan bukti bagi diteliti serta diambil tindakan sewajarnya.

“Isu ini amat serius kerana ia boleh menyebabkan reputasi halal Malaysia tercemar dengan fitnah dan tuduhan tidak berasas,” katanya.

Terdahulu semasa menyampaikan ucaptama, beliau berkata Rang Undang-undang Wakaf yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi akan datang akan memastikan dana mahupun aset yang diwakafkan dapat dipantau dengan telus dan bertanggungjawab.

Mujahid berkata apabila diluluskan, akta berkenaan bakal menjadi model undang-undang berkaitan wakaf di negeri lain kerana ketika ini setiap negeri mempunyai enakmen dan peruntukan undang-undang berbeza untuk mentadbir harta wakaf.

“Ia akan digubal supaya tidak berlaku salah guna dan supaya tanah wakaf itu digunakan dan (nampak) keberadaannya. Maka satu akta yang kita nak perkenalkan nanti ialah Akta Wakaf – yang akan melibatkan isu-isu peraturan supaya tidak berlaku penyelewengan atau tanah itu tidak digunakan.

Namun kami tidak boleh jadikan akta ini di seluruh negara, cuma di peringkat wilayah. Apa yang boleh mereka (negeri) buat adalah mereka tengok model ini dan dilaksanakan di peringkat negeri,” katanya.

Katanya kerajaan berharap kewujudan undang-undang berkenaan dapat menjaga kepentingan semua pihak sama ada individu yang berwakaf, warisnya dan mereka yang diberikan amanah untuk menguruskan harta wakaf.

“Kami mahu memelihara niat murni dan pahala orang berwakaf sehingga akhirat dengan mewujudkan undang-undang dan peraturan khusus untuk mengawal selia harta wakaf. Wakaf merupakan instrumen penting dalam pengurusan hal ehwal umat Islam namun ia tidak hanya terbatas pada pemberian tanah sahaja malah boleh juga wakaf pendidikan, alam sekitar, perubatan dan sebagainya,” katanya.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply