Home Pertahanan dan Keselamatan Motosikal terbang melintasi anggota tentera pukau penonton

Motosikal terbang melintasi anggota tentera pukau penonton

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Pasukan Akrobatik Motosikal Army Red Warrior (ARW) dari Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) berjaya mencuri tumpuan penonton dengan persembahan memukau pada Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) KPTD ke-66 yang diadakan di Padang Kawad Pusat Latihan Polis Tentera (PULAPOT), Kem Genting Klang semalam.

Antara aksi lagak ngeri bermotosikal yang dipersembahkan adalah gimik ‘terbang’ melintasi 15 anggota, 4 buah kereta dan 7 buah motosikal berkuasa tinggi.

Mej Mohd Iskandar berkata Pasukan ARW ini mempunyai kepakaran menghasilkan pelbagai formasi persembahan di atas motosikal tanpa memegang handle dan juga mempamerkan aksi wheelie. Foto: Air Times

Menurut Pegawai Pemerintah ARW, Mejar Mohd Iskandar Karmardin, kumpulan yang mempunyai keanggotaan seramai 44 anggota termasuk dua orang pegawai dan lima wanita itu telah ditubuhkan pada tahun 1963 dahulunya dikenali sebagai Wira Merah Kor Polis Tentera Diraja. Ia telah dijenamakan semula pada tahun 2011 dengan nama Pasukan Akrobatik Motosikal Army Red Warrior.

“Acara ataupun persembahan di buat, kita ikut yang lama. Cuma ada penambahbaikan dari segi penggayaan pakaian, keanggotaan ditambah dan motosikal pun kita bagi yang lebih cantik, lebih baru dan lebih mantap,

“Setiap persembahan yang kami lakukan, anggaran masa yang diperuntukkan adalah diantara 25 minit ke 30 minit. Manakala untuk persiapan sebelum sesuatu persembahan pula, biasanya kami akan membuat latihan seminggu lebih awal,” tambah Iskandar.

Aksi lagak ngeri melintasi dua buah kereta oleh Koperal Saidatul Husna Kamaruddin. Foto: Air Times

Sementara itu, Koperal Saidatul Husna Kamaruddin berkata untuk penglibatan dalam sesuatu aksi lasak seperti ini, perasaan takut dan gemuruh sentiasa ada dalam setiap individu tersebut. Namun berbekalkan semangat dan minat beliau dalam sukan permotoran, perasaan tersebut diketepikan untuk bersama-sama menjayakan aksi ini.

“Walaupun pernah mengalami kecederaan teruk sehingga direhatkan selama dua tahun, rasa fobia untuk kembali beraksi tetap ada. Bagi kami apabila membabitkan diri dalam sukan permotoran, kecederaan itu adalah asam garam buat semua pelagak aksi seperti kami, kata Saidatul yang merupakan salah seorang daripada 5 anggota perempuan dalam pasukan tersebut.

Pasukan ARW sering diundang untuk melakukan persembahan diseluruh negara bahkan pernah diundang untuk melakukan persembahan di Brunei International Tattoo 2011. ARW mempunyai kepakaran menghasilkan pelbagai formasi persembahan di atas motosikal tanpa memegang handle dan juga mempamerkan aksi wheelie.

Antara pencapaian tertinggi pasukan ini adalah aksi lompatan motosikal melepasi 8 buah kereta dan aksi tiga buah motosikal membawa 31 anggota yang bergerak secara serentak telah berjaya direkodkan di dalam Malaysia Books of Record.

 

 

Related Articles

Leave a Reply