Home Semasa LTTE: Terima layanan buruk dalam penjara, dua tertuduh buat aduan

LTTE: Terima layanan buruk dalam penjara, dua tertuduh buat aduan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 5 dan 6 Dis untuk memeriksa aduan dua tertuduh dalam kes berkaitan kumpulan pengganas LTTE yang mendakwa mereka tidak menerima layanan baik di penjara.

Aduan itu dikemukakan pengusaha kedai runcit, B. Subramaniam, 57, yang menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan itu dan pengutip besi buruk, A. Kalaimughilan, 28, yang didakwa memiliki item berkaitan kumpulan sama.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya hari ini. Kedua-dua tertuduh hadir.

Beliau berkata mahkamah telah mendengar aduan oleh kedua-dua tertuduh yang dirakam secara tertutup di mahkamah pada 1 Nov lepas dan pihaknya mengambil maklum mengenai aduan itu.

“Selepas mendengar aduan daripada kedua-dua tertuduh itu, mahkamah berpuas hati ada kesalahan untuk diambil maklum di bawah Seksyen 128 Kanun Tatacara Jenayah.

“Satu pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua tertuduh akan diteruskan mengikut Seksyen 133 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Seksyen 128 antara lain menyatakan bahawa apabila mahkamah menerima aduan atau mengesyaki kesalahan itu dilakukan, menghendaki mahkamah itu menyiasat perkara itu manakala Seksyen 133 antaranya menyatakan bahawa apabila mahkamah mengetahui sesuatu aduan, mahkamah hendaklah menetapkan suatu tarikh untuk memeriksa pengadu.

Pada 5 dan 6 Dis itu mahkamah akan memeriksa dengan lebih lanjut aduan kedua-dua tertuduh itu.

Hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Low Qin Hui manakala peguam S. Selvam mewakili kedua-dua tertuduh.

Pada prosiding 1 Nov lepas di hadapan Azura, peguam M. V. Yoges, yang mewakili Kalaimughilan berkata anak guamnya memberitahu bahawa dia tidak dilayan dengan baik di Penjara Sungai Buloh di mana bantal mahupun tilam tidak diberi kepadanya.

“April lepas, anak guam saya mengalami kemalangan dan mendapat lapan jahitan di kepala… dia masih rasa kesakitan itu.

Kesakitannya bertambah teruk apabila tidur di atas lantai. Anak guam saya juga ditempatkan di dalam lokap gelap yang ada tikus,” katanya.

Pada 31 Okt lepas, Subramaniam didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama “US SUBRA SUBRAMANIAM” .

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di sini pada 5.30 petang 7 Okt, 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Kalaimughilan pula didakwa dengan pengetahuan telah mengedar item yang berkaitan dengan LTTE di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap, di sini, kira-kira pukul 8.00 malam hingga 11.30 malam, 17 Mac, 2014.

Pada 29 Okt, dia dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang di sini atas dua pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang dan di dalam sebuah kereta di tempat sama, pada 9.30 pagi dan 12.35 petang, 10 Okt lepas.

Kesemua pertuduhan terhadap Kalaimughilan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan di bawah SOSMA juga mereka tidak dibenarkan diikat jamin sementara menunggu perbicaraan atau kes selesai.

Bagaimanapun mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan jaminan yang dimohon tertuduh sekiranya terdapat keadaan istimewa terhadap permohonan jaminan itu.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply