Home Pertahanan dan Keselamatan Maritim Malaysia tahan dua lelaki Pala’u, rampas 260 tong berisi petrol

Maritim Malaysia tahan dua lelaki Pala’u, rampas 260 tong berisi petrol

by Bernama

SEMPORNA, 3 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Semporna menahan dua lelaki Pala’u di perairan Semporna selepas cuba menyeludup 260 tong berisi minyak petrol menggunakan bot jongkong ke Sitangkai, Filipina, semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata dua lelaki berusia 35 dan 31 tahun itu ditahan pada 1 pagi di perairan Pulau Boheyan dekat sini.

“Anggota cuba menahan bot itu selepas didapati bergerak dalam keadaan mencurigakan, namun juragan bertindak memecut laju bot dan dikejar kira-kira sejam sebelum ditahan.

“Ketika ditahan, kedua-dua suspek berada bersama 260 tong minyak petrol (6,500 liter) dipercayai untuk dijual di pasaran Filipina,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Maritim Semporna di sini, hari ini.

Menurut Norrimi, kedua-dua suspek yang ditahan dipercayai menerima upah daripada pihak tertentu namun perkara itu masih dalam siasatan.

“Suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau, dan dipercayai suspek yang tinggal di pondohan (perumahan atas air) menjadikan tempat itu sebagai lokasi persinggahan barangan sebelum diseludup keluar,” katanya.

Menurutnya rampasan terbesar dilakukan Zon Maritim Semporna setakat November tahun ini dengan nilai RM68,000.

Beliau berkata Maritim Semporna akan meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang pelanggaran undang-undang dan pelakuan jenayah di daerah ini.

Norrimi meminta orang ramai supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Semporna di talian 080-782619 atau MERS 999. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply