Home Politik PRK Tanjung Piai: 412 pegawai, anggota polis bertugas esok

PRK Tanjung Piai: 412 pegawai, anggota polis bertugas esok

by Bernama

PONTIAN, 1 Nov – Seramai 412 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai esok bagi memastikan proses penamaan calon itu berjalan lancar.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata selain itu, tiga laluan yang berdekatan dengan tempat penamaan calon iaitu di Dewan Jubli Sultan Ibrahim di sini, akan ditutup sementara bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Tiga laluan itu adalah Jalan Osman, Jalan Ismail dan Jalan Dewan manakala laluan alternatif adalah Jalan Bakek, Jalan Al-Sagof dan Jalan Parit Mesjid.

“Penutupan jalan ini adalah bagi membolehkan kita meletakkan penyokong bagi parti-parti yang akan bertanding esok,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan kepada penyokong supaya mematuhi peraturan dan mengikuti nasihat serta arahan yang diberikan pasukan polis yang bertugas agar ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

“Kita jangka esok kehadiran adalah ramai, jadi kita tidak mahu berlaku sebarang insiden tidak diingini,” katanya yang menjangkakan seramai 10,000 orang terdiri daripada penyokong semua parti bertanding akan hadir pada proses penamaan calon itu.

Mohd Kamarudin turut berkata pihaknya tidak membenarkan perarakan kenderaan yang membawa bendera dan melarang membawa sebarang senjata tajam atau berbahaya untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Sehingga hari ini, PRK tersebut dijangka melihat pertandingan tiga penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, wakil Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Wendy Subramaniam daripada Gerakan.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan pada 16 Nov ini, manakala pengundian awal akan diadakan pada 12 Nov.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas berikutan komplikasi jantung.

Pada PRU14, Dr Md Farid, seorang pakar bius mewakili Bersatu memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan Wee (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi). – Bernama

Related Articles

Leave a Reply