Home Pertahanan dan Keselamatan Kumpulan terakhir MALBATT 850-6 selamat tiba di tanah air

Kumpulan terakhir MALBATT 850-6 selamat tiba di tanah air

by Air Times News Network

SUBANG, 30 Okt – Kumpulan terakhir Pasukan Pengaman Batalion Malaysia 850-6 (MALBATT 850-6) selamat tiba di Pangkalan Udara Subang hari ini.

Kumpulan seramai 221 anggota diketuai Kolonel Azhan Md Othman itu tiba di tanah air kira-kira jam 4.40 petang selepas menamatkan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) selama 12 bulan sejak 6 September 2018.

MALBATT 850-6 dianggotai 850 anggota terdiri dari 80 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta pegawai awam kewangan dari Kementerian Pertahanan.

Kumpulan ke-4 yang tiba pada hari ini merupakan kumpulan terakhir kontinjen MALBATT 850-6 yang telah diaturgerak balik ke Malaysia setelah menamatkan penugusan UNIFIL. Manakala aturgerak pergerakan balik keseluruhan kotinjen MALBATT 850-6 telah dilaksanakan dalam empat peringkat bermula pada 2 Oktober 2019.

Selepas berkhidmat selama setahun di Lubnan, MALBATT 850-6 secara rasminya menyerahkan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada MALBATT 850-7 yang diketuai Kolonel Khairul Anwar Soib pada 17 Oktober 2019 lalu untuk meneruskan tugasan UNIFIL.

Sepanjang penugasan di sana, MALBATT 850-6 telah mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang cemerlang sekaligus membuktikan keupayaan serta kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa.

Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Kamalruzaman Mohd Othman TUDM berkata sepanjang penugasan di Lubnan, MALBATT 850-6 telah menunjukkan prestasi yang cemerlang.

“Prestasi cemerlang yang ditunjukkan serta  pengorbanan yang telah dicurahkan oleh seluruh warga MALBATT 850-6 dalam menjayakan misi ini amat besar nilainya,

“Hakikat ini diperakui oleh kerajaan Malaysia, kerana ianya adalah suatu bentuk sumbangan yang mampu kita hulurkan kepada dunia luar atas prinsip menjunjung keamanan sejagat,” katanya semasa ucapan dalam Majlis Sambutan Kepulangan Kumpulan ke-4 MALBATT 850-6 di sini hari ini.

Kontinjen MALBATT 850-6 juga berjaya mengekalkan reputasi baik selaku pasukan pengaman yang disegani oleh masyarakat setempat dan antarabangsa.

Seterusnya kontinjen ini akan berkampung di MALBATT Village, Port Dickson untuk membuat pentadbiran dan persiapan bagi Majlis Pembubaran MALBATT 850-6 pada 9 November 2019.

Turut hadir menyambut kepulangan ini Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki, wakil-wakil Panglima Perkhidmatan, pegawai-pegawai kanan ATM dan Penasihat Pertahanan Brunei.

 

Related Articles

Leave a Reply