Home Pertahanan dan Keselamatan Penggunaan peluru hidup dalam latihan komando tetap diteruskan

Penggunaan peluru hidup dalam latihan komando tetap diteruskan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Penggunaan peluru hidup dalam latihan komando tetap diteruskan dan akan ditambah baik dari segi prosedur (SOP), jelas Menteri Pertahanan kepada Dewan Rakyat, hari ini.

“SOP perlu ditambah baik tetapi latihan peluru hidup kepada komando tetap diteruskan,

“Ini pandangan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan komando,” kata Mohamad semasa menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen Kangar.

Terdahulu, Mohamad Sabu menyatakan kepada Dewan Rakyat bahawa siasatan terperinci telah dijalankan oleh pihak ATM berhubung insiden kematian seorang pegawai komando, Allahyarham Leftenan Kolonel Zahir Armaya yang maut semasa melakukan persembahan ‘confidence shooting’ di Lok Kawi pada 4 September lalu.

“Pihak Markas Tentera Darat telah menubuhkan lembaga siasatan khas bagi meneliti dan menyiasat kejadian yang berlaku,

“Pada 25 September, lembaga siasatan telah memutuskan kejadian yang berlaku adalah terpencil dan merupakan kemalangan semasa latihan,

“Segala kelengkapan dan peralatan yang digunakan semasa latihan berada dalam keadaaan baik,” jelas Menteri Pertahanan.

Mohamad turut menegaskan prosedur tetap latihan telah dipatuhi semasa kejadian.

Menyentuh isu baju kalis peluru yang digunakan oleh Allahyarham Zahir, menteri menjelaskan baju kalis peluru yang digunakan adalah mengikut piawaian National Institute of Justice (NIJ) Level III United States.

“Standard baju kalis peluru yang digunakan semasa demonstrasi adalah mengkiut piawaian NIJ Level III yang sesuai digunakan semasa operasi dan tempur jarak dekat,” jelasnya.

Menteri Pertahanan menambah, isu kebajikan waris dan anak-anak Allahyarham turut diberikan perhatian oleh pihak kementerian dan ATM.

“Kenaikan pangkat allahyarham dari pangkat Mejar ke Leftenan Kolonel telah disokong semasa Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-578 dan telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,

“Faedah kematian kepada waris telah diuruskan mengikut peraturan yang telah ditetapkan,” kata Mohamad Sabu.

 

Related Articles

Leave a Reply