Home Semasa Nasharudin berdepan 33 tuduhan pecah amanah, gubah wang haram

Nasharudin berdepan 33 tuduhan pecah amanah, gubah wang haram

by Bernama

SHAH ALAM, 22 Okt – Bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 33 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM4.02 juta.

Nasharudin, 57, yang hadir ke mahkamah ditemani isterinya membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi kes pecah amanah, dia menghadapi 30 pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan membabitkan jumlah RM3.72 juta.

Bagi kes pengubahan wang haram pula, dia didakwa terhadap tiga pertuduhan melibatkan jumlah RM302,069.60 di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Mengikut 27 pertuduhan pecah amanah, Nasharudin yang juga Pengerusi Yayasan Nassar didakwa secara curang melakukan kesalahan itu ke atas harta yayasan tersebut dengan membuat pembayaran berjumlah RM1.2 juta kepada beberapa syarikat dan individu.

Pembayaran itu antaranya adalah untuk pembelian satu unit rumah kedai di Bangi, membeli 25,000 unit saham, pembayaran katering majlis perkahwinan anak lelakinya, membiayai yuran kolej anak lelakinya serta sebagai gaji kepada dirinya sendiri selaku pengerusi yayasan berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Kajang antara 8 Jan hingga 9 Sept 2015.

Bagi tiga lagi pertuduhan pecah amanah, Nasharudin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Global Movement Moderation Foundation (GMMF) didakwa secara curang memberi wang yayasan itu berjumlah RM2.6 juta kepada syarikat Wasatiyah Centre For Peace Sdn Bhd sebagai geran penyelidikan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Menara Felda, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 30 Julai hingga 8 Ogos 2018.

Bagi kesemua pertuduhan tersebut, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Mengikut tiga pertuduhan pengubahan wang haram pula, Nasharudin didakwa mendeposit tiga cek berjumlah RM302,069.60, iaitu peruntukan yang diterimanya daripada Kementerian Kewangan untuk GMMF kepada tiga akaun berbeza.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Kajang pada 9 dan 14 Nov 2018 serta 20 Dis tahun sama dan jika sabit kesalahan, Nasharudin boleh dipenjara sehingga 15 tahun, didenda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan daripada aktiviti haram atau denda RM5 juta, mengikut yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai menawarkan jaminan RM500,000 bagi kesemua pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Zaki Mohd Salleh memohon mahkamah menetapkan jaminan RM1 juta bagi kesemua 30 pertuduhan pecah amanah tersebut selain pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Md Yunos Shariff pula memohon mahkamah supaya mengurangkan jumlah jaminan kepada RM120,000 bagi pertuduhan pecah amanah dan RM30,000 bagi pertuduhan pengubahan wang haram.

Hakim Rozilah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM250,000 bagi kesemua 30 pertuduhan pecah amanah dan RM80,000 bagi pertuduhan pengubahan wang haram dengan seorang penjamin serta memerintahkan Nasharudin menyerahkan pasportnya kepada mahkamah selain menetapkan 28 Nov ini untuk sebutan semula kes. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply