Home Pertahanan dan Keselamatan Kutipan Tabung Pahlawan lebihi sasaran minimum, capai paras RM 9 juta

Kutipan Tabung Pahlawan lebihi sasaran minimum, capai paras RM 9 juta

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Sebanyak RM 9.196 juta telah berjaya dikumpul untuk Kempen Tabung Pahlawan 2019 yang dilancarkan pada 31 Julai lalu.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, jumlah tersebut melebihi sasaran kutipan sebanyak RM 6 juta.

“Bagi pihak Kementerian Pertahanan, saya berbesar hati dan merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang dalam kempen ini,

“Sumbangan akan dimanfaatkan bagi tujuan bantuan kebajikan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga secara menyeluruh,” kata Mohamad dalam ucapan Majlis Makan Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan 2019 di Wisma Perwira, hari ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bergambar bersama para penyumbang korporat sebelum majlis bermula. Foto: Air Times

Berdasarkan statistik semasa yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran, sebanyak RM 7.78 juta wang tunai dan RM 1.25 juta tajaan telah disumbangkan oleh syarikat korporat serta bank. Selain daripada itu, sebanyak RM 10 ribu telah didermakan oleh kerajaan negeri, RM 71.40 ribu dari individu dan sebanyak RM 80.95 ribu diterima melalui kutipan jalanan.

Kempen Tabung Pahlawan 2019 telah dilancarkan pada 19 September lalu oleh Tun Dr Siti Hasmah selaku penaung Tabung Pahlawan.

Menurut Menteri Pertahanan, kutipan kali ini menyaksikan sumbangan terbesar oleh syarikat ADAP 4orty Global Sdn Bhd sebanyak RM 1.2 juta dalam bentuk tunai manakala RM 400 ribu dalam bentuk penajaan.

Majlis makan malam yang diadakan bagi meraikan dan menghargai penyumbang dana Tabung Pahlawan menyaksikan sumbangan dari 65 syarikat dan individu termasuk Yayasan Al-Bukhary dan Weststar Group.

 

Related Articles

Leave a Reply