Home Semasa Hujan, ribut petir diramal berlaku di seluruh negara minggu ini

Hujan, ribut petir diramal berlaku di seluruh negara minggu ini

by Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Fasa peralihan monsun yang membawa hujan dan ribut petir diramal berlaku melibatkan seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak sepanjang minggu ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata fasa peralihan monsun itu tidak membawa banjir besar, sebaliknya berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan yang tidak mempunyai sistem saliran yang baik.

Katanya hujan lebat hanya berlaku pada waktu petang di kebanyakan kawasan negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah, kawasan barat dan tengah Sarawak.

“Hujan dan ribut petir memang lumrah atau biasa berlaku semasa musim peralihan monsun.

“Biasanya negeri-negeri di pantai barat Semenanjung dan pedalaman pantai timur serta barat Sabah dan Sarawak memang akan mengalami hujan atau ribut petir pada sebelah petang atau awal malam semasa musim peralihan monsun ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jailan berkata Monsun Timur Laut dijangka bermula pada hujung minggu ini atau awal minggu hadapan dan sepanjang waktu itu, kemungkinan beberapa kawasan akan mengalami banjir.

Beliau berkata hujan lebat turut dijangka berlaku antara pertengahan November hingga hujung Disember di Kelantan dan Terengganu manakala Pahang dan Johor akan mengalami keadaan sama pada Disember hingga awal Januari.

“Pada awal Januari hingga Februari nanti hujan (dijangka) beralih ke Sarawak dan Sabah,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply