Home Semasa Tangkap dan kurung individu yang terlibat LTTE – Azizan Memali

Tangkap dan kurung individu yang terlibat LTTE – Azizan Memali

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM) dan gabungan 11 NGO telah mengadakan sidang media di Sogo untuk menyatakan sokongan terhadap tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta mengutuk rakyat yang terlibat dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Menurut Presiden GRVATM, Azizan Salleh yang juga dikenali sebagai Azizan Memali mereka tidak mahu peristiwa seperti di Lahad Datu berulang. Beliau turut menggesa individu yang terbabit dengan elemen gerakan LTTE perlu ditangkap dan dikurung.

Presiden Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM), Azizan Memali.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM turut mendapat sokongan sepenuhnya daripada kami untuk menjalankan tugas sebaik mungkin,

“Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) harus dikekalkan bagi menjaga keselamatan negara memandangkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) telah dimansuhkan,” kata Azizan yang mewakili kesemua gabungan NGO yang hadir.

Pada masa yang sama, beliau turut mempersoalkan tindakan sesetengah pihak terutamanya ahli politik yang dilihat cuba mengambil kesempatan terhadap isu penangkapan suspek LTTE di bawah SOSMA.

“Ahli politik sepatutnya buat kerja politik, hal keselamatan mereka tak perlu masuk campur dan jangan sesekali cuba menghina polis yang membuat kerja,

“Kami akan bertindak sekiranya ada pihak yang cuba menghina polis,” tegas Azizan.

Beliau menambah, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah dua pasukan yang bertanggungjawab dalam menjaga keamanan negara.

“Kita kena berterima kasih, bersyukur kepada PDRM kerana negara kita aman dan makmur,” ujar beliau.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Rani Kulup menegaskan bahawa ahli politik dan menteri tidak perlu memberi kenyataan yang seolah-olah menyokong LTTE sehingga boleh mengganggu siasatan polis.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Rani Kulup.

Rani Kulup turut menegaskan yang SOSMA perlu dikekalkan kerana itu lah senjata terbaik yang ada pada negara.

Sebelum ini pihak polis telah menahan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang dipercayai terbabit dengan perjuangan LTTE.

 

Related Articles

Leave a Reply