Home Pertahanan dan Keselamatan Belanjawan 2020 fokus tingkat upaya dan kebajikan warga ATM – Menteri

Belanjawan 2020 fokus tingkat upaya dan kebajikan warga ATM – Menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Kementerian Pertahanan Malaysia hari ini telah menggariskan 4 tonggak utama di bawah Belanjawan 2020 bagi memperkasakan kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kementerian Pertahanan Malaysia komited untuk memperkasakan kekuatan ATM dibawah 4 perkara utama di bawah Belanjawan 2020,” kata Mohamad Sabu.

Beliau menjelaskan terdapat 4 perkara utama yang akan diberikan tumpuan iaitu memastikan kesiapsiagaan pasukan ATM pada paras ‘full mission capable’, mengukuhkan jaringan kerjasama strategik dengan negara-negara ASEAN serta masyarakat antarabangsa, dan meningkatkan intergiriti dalam tatacara pengurusan kewangan.

Selain daripada itu, aspek kesejahteraan dan kebajikan anggota tentera serta veteran turut digariskan dalam fokus belanjawan 2020.

Mohamad Sabu semasa Sidang Media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, hari ini. Foto: Air Times

Dalam pada itu, beliau turut mengulas peruntukan yang telah diberikan kepada Kementerian Pertahanan Malaysia semasa Belanjawan 2020.

“Secara keseluruhannya, belanjawan yang diberikan pada tahun ini meningkat 12% dari RM 13.9 bilion kepada RM 15.58 bilion pada tahun 2020,

“Perbelanjaan Pembangunan pada tahun ini menurun sebanyak 500 juta berbanding tahun sebelumnya sementara Perbelanjaan Mengurus meningkat sebanyak RM 2.23 bilion iaitu 21%,” kata Mohamad dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, hari ini.

Beliau turut mengumumkan sebanyak RM 5.7 bilion telah diperuntukkan kepada Tentera Darat Malaysia, RM 2.5 bilion kepada Tentera Udara Diraja Malaysia, RM 2 bilion kepada TLDM dan RM 1.4 bilion kepada Markas Angkatan Bersama.

Kementerian Pertahanan merupakan penerima ke-5 terbesar dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Jumaat lalu.

Mohamad turut berkata peningkatan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan dalam Belanjawan 2020 membuktikan keperihatinan kerajaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, kerajaan memberikan sebanyak RM500 secara “one-off” kepada 70,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia (PJM) bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.

Manakala seramai 160,000 veteran ATM yang berpencen dan tidak berpencen diperuntukan RM 250 secara “one-off” bagi menghargai sumbangan serta bakti mereka kepada negara.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Mohd Ali dan Panglima-panglima Perkhidmatan serta warga Kementerian Pertahanan.

 

Related Articles

Leave a Reply