Home Semasa Utusan Melayu tamat pengoperasian hari ini       

Utusan Melayu tamat pengoperasian hari ini       

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad mengesah penghentian operasi berkuat kuasa hari ini selepas mengalami masalah kewangan.

Memorandum yang ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir itu turut menjelaskan tarikh akhir bekerja kakitangan telah ditetapkan pada hari ini manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada hari Khamis, 31 Oktober 2019.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat Utusan Melayu (M) Bhd. telah melalui tempoh perniagaan yang paling kritikal sejak mula beroperasi 80 tahun yang lalu. Keadaan syarikat semakin merosot selepas Mei 2018.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan dengan harapan untuk meletakkan syarikat kepada kedudukan yang lebih kukuh dan terjamin,

“Antara langkah yang diambil ialah menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang menyaksikan lebih 700 kakitangan melepaskan jawatan mereka. Ini merupakan pemberhentian kerja berskala besar yang terpaksa dilakukan bagikelangsungan syarikat, katanya dalam satu kenyataan.

Pada 30 Ogos lepas, penerbit akhbar harian berbahasa Melayu tertua negara ini yang ditubuhkan pada 1939, telah dinyahsenarai dari Bursa Malaysia dengan harga dagangan akhirnya pada 5.5 sen.

Menurut Aziz, bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak dan syarikat kini berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang-pemiutang.

“Langkah ini terpaksa diambil kerana Lembaga Pengarah berpendapat bahawa syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan,” katanya menerusi memorandum pekeliling itu lagi.

Beliau berkata, susulan keputusan penamatan operasi itu, semua kakitangan diminta mengemas tempat kerja, mengambil barang peribadi masing-masing dan mengembalikan semua peralatan dan harta syarikat termasuk kad akses dan kunci pejabat kepada Ketua Jabatan selewat-lewatnya pada jam 1 tengah hari hari ini.

“Sekiranya terdapat keperluan tambahan, kebenaran masuk akan diberikan kepada kakitangan pada Khamis, 10 Oktober 2019 dari jam 9 pagi sehingga jam 6 petang.

“Selepas dari waktu ini, akses ke pejabat akan dihadkan kepada kakitangan tertentu sahaja. Kelayakan tuan puan untuk faedah penamatan kerja adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan ini akan dikendalikan oleh pihak pelikuidasi,” kata Aziz.

 

Related Articles

Leave a Reply