Home Pertahanan dan Keselamatan Kompleks pentadbiran kedua dibina tahun depan, perkukuh operasi Maritim Malaysia di Sarawak

Kompleks pentadbiran kedua dibina tahun depan, perkukuh operasi Maritim Malaysia di Sarawak

by Bernama

MIRI, 8 Okt – Projek pembinaan kompleks pentadbiran kedua Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di Sarawak dijangka akan bermula pada tahun 2020.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, tawaran tender bagi pembinaan kompleks pentadbiran tersebut telah ditutup dan kini sedang menanti keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Projek dijangka dilaksanakan pada tahun depan melibatkan pembinaan kompleks pentadbiran dan jeti di Pulau Melayu,”katanya kepada pemberita selepas perasmian program Sarex Camar 2/2019 di sini hari ini.

Sebelum ini media pernah melaporkan cadangan pembinaan kompleks pentadbiran tersebut pada 2015 dengan tanah seluas dua hektar di Pulau Melayu di sini, dikenalpasti sebagai lokasi bagi memantapkan operasi Maritim di utara Sarawak.

Untuk rekod, Maritim Miri sehingga hari ini beroperasi di Pusat Komersial Tebingan Sungai Miri (Miri Watefront) sejak 2006.

Maritim Sarawak kini hanya mempunyai satu kompleks pentadbiran dan kuarters sendiri yang dinamakan Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) terletak di Muara Tebas, 30km dari bandaraya Kuching.

Mengenai program Sarex Camar 2/2019, beliau berkata,ianya adalah latihan bersama dengan industri yang terlibat secara langsung di perairan seperti penerbangan, minyak dan gas.

“Maritim bertindak sebagai penerahu operasi mencari dan menyelamat dengan kerjasama Shell, Petronas dan pihak berkuasa dari industri penerbangan,”katanya.

Menurutnya, Maritim telah menetapkan tempoh respon satu jam untuk mengerakkan aset Maritim ke ke lokasi kejadian di perairan selepas laporan dibuat.

“Selain aset Maritim, bantuan dari nelayan, kapal milik kerajaan atau persendirian akan dihubungi untuk memantapkan operasi,”katanya lagi. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply