Home PolitikPakatan Harapan Saya pilih PKR kerana politik berbilang kaum, suasana di Sabah – Salleh

Saya pilih PKR kerana politik berbilang kaum, suasana di Sabah – Salleh

by Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Keruak hari ini berkata beliau memilih PKR kerana parti itu mengamalkan politik berbilang kaum yang sesuai dengan pegangan dan pendirian politiknya serta suasana politik di Sabah.

Beliau berkata dalam kancah politik berteraskan kaum dan ekstremis yang boleh menggugat perpaduan serta kestabilan negara ketika ini, beliau percaya PKR berada di landasan yang betul untuk menyelamatkan negara daripada bencana ekstremisme.

“Seperti yang pernah saya jelaskan, saya dan sebilangan besar kepimpinan UMNO Sabah mengambil keputusan meninggalkan UMNO pada Disember 2018 demi memberi tumpuan kepada masa hadapan negeri Sabah.

“Saya ingin membantu PKR dalam membawakan politik progresif berbilang kaum yang mengutamakan kestabilan dan kesederhanaan terutamanya di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengesahkan telah memohon untuk menjadi ahli PKR secara dalam talian dan menyerahkan kepada kepimpinan parti itu untuk mempertimbangkan permohonannya.

Salleh berkata sejak menyertai dunia politik hingga ke hari ini, beliau kekal sebagai seorang yang sederhana, progresif dan amat mendukung kestabilan serta percaya langkah yang diambilnya itu adalah langkah betul.

“Saya percaya saya boleh menyumbang ke arah kestabilan dan kemakmuran Sabah khususnya dan Malaysia amnya menerusi penglibatan saya dalam PKR,” katanya.

Semalam Bernama melaporkan Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mengesahkan telah menerima permohonan keanggotaan Datuk Seri Salleh Keruak secara dalam talian. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply