Home Semasa Kongres Maruah Melayu: Hanya orang Melayu sahaja boleh ubah nasib bangsanya sendiri

Kongres Maruah Melayu: Hanya orang Melayu sahaja boleh ubah nasib bangsanya sendiri

by M.Daim

SHAH ALAM, 6 Okt – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bahawa hanya Melayu sahaja mampu untuk memulihkan maruah mereka yang selama ini sering dipandang hina dalam negara sendiri.

“Dalam Al-Quran ada menyebut, Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri yang mengubah keadaan mereka,” kata Mahathir dalam amanat beliau pada Kongres Maruah Melayu, hari ini.

Selain daripada itu, beliau turut menegaskan orang Melayu untuk tidak bergantung dengan orang lain bagi mengubah nasib mereka. Menurut beliau, sikap sebegini akan menyebabkan orang Melayu terus terhutang budi dan takut untuk kehilangan sokongan mereka.

“Apabila kita bergantung kepada orang lain, kita akan terhutang budi kepada mereka dan kita takut apabila tidak mendapat sokongan daripada mereka,

“Dengan sendirinya kita gadai kuasa yang telah diberikan semata-mata untuk mendapatkan tempat serta kedudukan,” ujar Tun.

Dari sudut politik, Perdana Menteri menegaskan bahawa Melayu merupakan kumpulan penduduk terbesar di negara ini iaitu 60 peratus daripada jumlah penduduk (32 juta orang). Namun, perpecahan dikalangan orang Melayu kepada kumpulan kecil menyebabkan mereka gagal memegang kuasa politik di negara sendiri.

“Kita berpecah menjadi kumpulan yang kecil-kecil belakadan tidak ada satu pun mampu capai 50% sokongan rakyat,

“Kita sendiri melakukan perpecahan ini. Apabila kita berpecah, maka kita berlawan sesama kita dan terpaksa bergantung kepada orang lain untuk mendapatkan kemenangan,” luah Perdana Menteri.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan pimpinan Melayu hari ini tidak kuat ‘kemelayuanya’.

“Saya nak akui bahawa kerajaan walaupun dipimpin oleh orang Melayu, semangat melayunya tidak kuat. Nak tak nak kita ambil kira perasaan orang lain atau kita akan kalah,” katanya di hadapan ribuan hadirin termasuk para pemimpin parti politik Melayu, ahli akademik, badan bukan kerajaan dan apa yang disifatkannya kehadiran Melayu yang “sedar” di majlis itu.

Perdana Menteri berkata kerajaan dengan sendirinya walaupun dipimpin oleh Melayu, tidak boleh memulihkan maruah Melayu sekiranya kaum itu tidak mahu berusaha untuk mengubah nasib mereka.

“Jangan minta orang lain lakukan sesuatu untuk memulihkan maruah kita. Melayu sendiri kena pulihkan maruah Melayu,”

“Maruah kita bukan tercapai kerana diberi peluang, maruah kita bergantung kepada ketercapaian kita untuk menjadi satu bangsa yang mampu membuat segala-galanya, yang mampu berkerja membuat barangan tertentu,” tegas Mahathir.

Perdana menteri berkata kegagalan orang Melayu dalam ekonomi kerana tidak merebut peluang yang ada menyebabkan orang asing mengambil peluang tersebut dan memajukan diri mereka sehingga menjadi kaya di negara ini.

“Kita bergantung kepada orang lain sehingga kita diperhambakan. Mereka lebih maju dan capai kemajuan kerana peluang di negara kita tidak diisi dan kita tidak sanggup lakukan kerja tertentu sebab kerja ini dianggap sebagai hina, bahaya, berat, kotor dan sebagainya,” katanya.

Dr Mahathir berkata sebenarnya orang Melayu bukan tidak berupaya untuk maju tetapi mereka sendiri tiada mempunyai kemahuan untuk memperbaiki nasib mereka sendiri.

“Apa yang saya perkatakan ini mungkin tidak senang didengari kita semua, tetapi ini semuanya yang berlaku dan inilah yang akan diwarisi oleh generasi muda. Selagi kita tidak tukar cara hidup kita, selagi kita tidak sanggup kerja, hadapi cabaran semasa pekerjaan, selama itulah kita akan ketinggalan,

“Pada satu masa apabila kita wujudkan peluang, peluang dipindah, wujud AP (permit import), AP pun pun dijual, wujud kontrak, kontrak dijual, bolehkah kita jadi kaya hanya dengan kita jual lesen yang kita dapat,

“Kesanggupan untuk berusaha adalah perkara utama dalam usaha pemulihan maruah bangsa,” tegas beliau.

 

 

Related Articles

Leave a Reply