Home Semasa APMM tahan tekong warga Thailand ceroboh perairan Negara

APMM tahan tekong warga Thailand ceroboh perairan Negara

by Bernama

KUALA PERLIS, 30 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Kuala Perlis menahan sebuah bot nelayan milik seorang warganegara Thailand pagi semalam kerana menceroboh dan memukat ketam tanpa kebenaran di kawasan perairan negara.

Pengarahnya, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata bot itu ditahan di jarak 5.3 batu nautika dari pantai Sungai Baru pada kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.

“Pemeriksaan ke atas bot itu menemukan seorang tekong berusia 35 tahun serta 10 kilogram ikan campur. Bot berkenaan telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata tekong itu akan dibawa ke Mahkamah Kangar hari ini  bagi mendapatkan perintah tahanan reman, dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana pencerobohan penangkapan ikan oleh vesel asing di perairan perikanan Malaysia.

Nurulazme seterusnya berkata orang ramai yang ingin menyampaikan laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia dengan menelefon MERS 999, atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis dengan menelefon 04-9851072 atau 04-9851162.- Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply