Home Semasa Hasil penilaian kedudukan LTAT dedah kelemahan dan penyelewengan kewangan

Hasil penilaian kedudukan LTAT dedah kelemahan dan penyelewengan kewangan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Penilaian kedudukan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2017 dan 31 Dis 2018, telah mendedahkan kelemahan dan penyelewengan kewangan yang ketara.

Dalam satu kenyataan semalam, LTAT berkata lembaga itu telah melantik firma perakaunan Ernst & Young untuk menjalankan penilaian kedudukan pada Februari 2018 bagi meningkatkan tadbir urus korporat dan menambah baik kedudukan fiskal LTAT dan syarikatnya.

Penilaian itu mendapati bahawa sebelum 2019, LTAT telah mengumpul portfolio pelaburan dengan risiko yang besar dan isu-isu mengenai kualiti aset.

Terdapat juga beberapa transaksi terdahulu mengandungi potensi penyelewengan dan kelemahan dalam bidang operasi, perakaunan dan undang-undang.

Penyelewengan dan kelemahan ini berlaku di bawah kepimpinan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin sebelum ini yang memegang jawatan ketua eksekutif LTAT sehingga 7 Sept 2018.

Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata antara penemuan penting adalah pendapatan tertangguh terjejas oleh terlebih bayaran dividen dan kenyataan berlebihan mengenai aset LTAT antara tahun 2015 dan 2017.

“Hasil pulangan aset lima tahun LTAT dari tahun kewangan (TK) 2014 hingga TK 2018 tidak termasuk keuntungan sekali sahaja, lebih rendah daripada kadar dividen yang diisytiharkan.

“Ini menyebabkan LTAT membayar dividen pada kadar yang lebih tinggi daripada apa yang ia mampu,” katanya.

Untuk menguruskan situasi tersebut, LTAT akan membangunkan dasar dividen yang munasabah merangkumi menetapkan kadar pulangan minimum pelaburannya.

Beliau berkata LTAT kemudiannya akan mewujudkan rangka kerja peruntukan aset strategik untuk memenuhi jangkaan kadar dividennya yang minimum.

Mohd Zahidi berkata kegagalan tersebut menjejaskan satu pelaburannya yang besar telah menyebabkan kenyataan berlebihan mengenai aset LTAT antara 2015 dan 2017.

Akibatnya, rosot nilai aset berjumlah RM55 juta perlu direkodkan dalam keputusan tahun kewangan 2018, katanya.

Beliau berkata amalan usaha wajar kewangan dan teknikal juga tidak dilakukan oleh LTAT sebelum melabur dalam syarikat tersebut dan tidak berdasarkan dasar dan prosedur pelaburan yang baik.

Penilaian itu juga menemui beberapa isu dengan aset hartanah tidak terjual bernilai RM45 juta, walaupun telah siap pada TK2015.

Beliau berkata LTAT sedang berusaha untuk mempercepat penjualan unit-unit yang masih belum dijual dan untuk masa depan, LTAT akan lebih berhati-hati mempertimbangkan potensi pulangan dan kepakarannya dalam pembangunan hartanah.

Penemuan utama penilaian kedudukan lain juga termasuk risiko menaruh harapan keterlaluan telah meningkat dan kecairan sejak tahun 2014 serta dividen belum jelas daripada anak-anak syarikat yang tidak dibayar sepenuhnya dan ia masih tertunggak sehingga tarikh ini.

Mohd Zahidi berkata LTAT telah menilai semula kemampuan anak-anak syarikatnya untuk membayar dividen, dengan mengambil kira prestasi dan kedudukan tunai masing-masing.

Beliau berkata amalan membeli unit amanah bagi tujuan agar ahli-ahlinya menerima bonus istimewa didapati menjejaskna kemampuan LTAT untuk mengawal dan menguruskan dana secara aktif.

“LTAT mahupun ahli-ahlinya dapat menguruskan pegangan unit amanah mereka sehingga tempoh persaraan.

“Melangkah ke hadapan, LTAT mungkin mempertimbangkan lain-lain saluran pelaburan yang akan membolehkannya memenuhi matlamat utamanya,” katanya.

LTAT berkata ia menyedari hakikat bahawa peranan utamanya adalah untuk menjana dividen yang berterusan untuk anggota tentera dan penemuan penilaian ini memberikan kejelasan pada bidang kritikal yang perlu diperkukuhkan.

“Ini seterusnya akan menempatkan kami dalam kedudukan yang lebih baik untuk menyediakan aliran pulangan yang mantap untuk manfaat ahli kami.

“Walaupun penilaian ini dan tindakan yang diambil oleh pengurusan baharu telah membantu meletakkan LTAT pada kedudukan yang lebih kukuh, prospek jangka pendek dan sederhana masih mencabar,” kata Mohd Zahidi. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply