Home Pertahanan dan Keselamatan Penculik nelayan Indonesia dalam senarai ‘orang dikehendaki’ ESSCOM

Penculik nelayan Indonesia dalam senarai ‘orang dikehendaki’ ESSCOM

by Bernama

LAHAD DATU, 26 Sept – Individu yang mendalangi penculikan tiga nelayan Indonesia di perairan Tambisan, Tungku dekat sini, Selasa lepas ada dalam senarai ‘orang dikehendaki’ Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Berkongsi perkara itu, Komander ESSCOM Datuk Hazani Ghazali berkata maklumat itu berdasarkan `perisikan’ Malaysia bersama pasukan keselamatan Filipina.

“Penculik ada dalam WL (wanted list) ESSCOM,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini ESSCOM menyenaraikan 18 warga Filipina yang paling dikehendaki organisasi keselamatan itu bagi tahun 2019.

Senarai itu membabitkan penjenayah Salip Mura Kayawan; Sibih Pisih; Titing Alihasan (Iyot Panday); Roger Saji; Long Sahirin; Jul Aksan Abdurajan (Halimaw); Hatib Hajan (Sawadjaan); Apo Mike (Majan Sahidjuan); Indang Susukan (Abu Jihad); Al Munjir Yadah; Raden Abuh; Marajan (Manajan Asiri); Sangbas (Anjang); Hamsan Pakkan (Black Cobra); Sabri Madrasul (Salip Jul); Jul (Jul Hasan); Tampi (Bunju); dan Ben Tatoh.

Bagaimanapun, menurut Hazani, seorang daripada 18 yang dikehendaki itu iaitu Indang Susukan dipercayai mati terbunuh sewaktu bertempur.

Dalam pada itu, Hazani berkata penjenayah terbabit memasuki perairan negara selepas melihat wujud ‘peluang’, berikutan sebuah kapal marin di perairan Tambisan yang ditugas memantau keselamatan terpaksa ditarik ke jeti kerana rosak.

“Mereka pun ada team (pasukan) yang memantau pihak keselamatan kita, bila selamat baru mereka gerak masuk,” katanya.

Sementara itu Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata pihaknya meningkatkan kawalan di perairan Tambisan dengan penambahan aset serta anggota bagi mengekang kes penculikan.

“Kami bersama elemen dalam Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) telah bermesyuarat untuk memberi fokus di perairan ini dan menangani jenayah rentas sempadan,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata pihaknya juga menggerakkan Unit Risikan Marin untuk membangunkan pengumpulan maklumat risikan lebih aktif bersama Filipina.

“Kami menghubungi pihak risikan Polis Kebangsaan Filipina kes penculikan,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply