Home Pertahanan dan Keselamatan Mohon wujudkan pangkalan, elak pencerobohan di Tambisan – Nelayan Lahad Datu

Mohon wujudkan pangkalan, elak pencerobohan di Tambisan – Nelayan Lahad Datu

by Bernama

LAHAD DATU, 26 Sept – Bimbang dengan kekerapan kes penculikan di kawasan perairan timur Sabah sejak kebelakangan ini, Persatuan Nelayan Kawasan Lahad Datu menyarankan pihak berkuasa mewujudkan pangkalan di kawasan Tambisan, Tungku dekat sini.

Pengerusi persatuan nelayan itu, Eskin Barahim berkata pihak berkuasa sebagai contoh boleh membina pangkalan Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kawasan itu.

“Ikut rekod Jun lepas, 10 nelayan diculik di perairan Tambisan, selepas itu insiden pasukan keselamatan tembak mati dua tali barut kepada kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFRG) di Felda Sahabat 2 dan terkini, pada Isnin ada tiga lagi nelayan Indonesia diculik di perairan Tambisan.

“Memandangkan Tambisan ini pun berhampiran dengan sempadan selatan Filipina, kita perlu ada pangkalan seperti polis Marin, APMM atau TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia), kalau ada pangkalan aset pun lebih banyak, pantas untuk kejar penculik, selain rondaan rutin kerana sempadan (Tambisan) ini luas,” katanya kepada Bernama.

Pada Isnin, dilaporkan tiga nelayan dari suku kaum Buton, Indonesia diculik pada 11.50 pagi di perairan Tambisan dan penculik dikatakan membawa mangsa menuju ke perairan Tawi-Tawi, Selatan Filipina.

Kawasan berkenaan dikatakan tidak mempunyai pos kawalan keselamatan.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali berkata perairan Tambisan berada di dalam radar untuk pembinaan Pusat Pemeriksaan di Laut (SCP).

Beliau berkata selain memantau kapal atau bot yang masuk, SCP juga menjadi ‘Forward Operation Base’ (FOB) dan sebagai pusat pengumpulan maklumat dan siap sedia rapid team. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply